Banjir reda, bumbung rumah pula tiada


Muzliza Mustafa

Ibu tunggal Che Gayah melahirkan kerisauan dengan kehidupan yang bakal dilaluinya selepas banjir menjejaskan kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 10 November, 2017.

CHE Gayah, seorang ibu tunggal, balik ke rumahnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang buat kali pertama semalam dalam masa lima hari selepas bah hujung minggu lalu yang meninggalkan segulung tilam berendam selut, rangka katil yang patah dan pakaian, buku-buku serta perabot yang semuanya bersalut lumpur.

Tetapi lebih malang baginya separuh atap zink rumahnya diterbangkan ribut yang melanggar negeri itu Sabtu lepas dan mengirimkan banjir di sebahagian besar kawasan di tanah besar. Beberapa kawasan yang bersempadan dengan Kedah di sebelah utara sehingga semalam masih ditenggelami air.

“Bukannya murah. Saya tak kisah pasal perabot atau barang elektrik. Macam mana nak duduk atap dah tinggal setengah,” kata wanita 59 tahun itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani Merbau Kudung, Permatang Pauh.

Dia sibuk memerhati anggota Unit Amal PAS yang datang menolong mencuci rumahnya dan jiran-jiran di kampungnya. Dia baru saja pulang dari dewan orang ramai di Merbau Kudung yang sejak Ahad dijadikan pusat bantuan banjir.

“Orang PAS ini tolong saya buang barang-barang yang dah tak boleh pakai lagi. Almari, sofa, buku, kain baju dan tilam semua kena selut,” katanya.

“Semua benda terendam lima hari. Banyaknya dah tak boleh guna. Habis semua kena bah.”

Peti sejuk dan mesin basuhnya juga tenggelam dalam banjir tetapi katanya dia akan jemur barang-barang elektrik itu dan berharap kedua-duanya masih boleh dipakai lagi.

Makanan, sekarang ini, tidak jadi masalah kerana ada banyak yang bermurah hati menyumbang. Tetapi yang paling dia bimbangkan sekarang ialah bagaimana hendak membaiki bumbung, duit pun dia tidak ada.

Che Gayah bulan-bulan dapat RM450 dengan menjaga tiga budak kecil. Mujur anak lelakinya dapat bantuan makanan percuma di sekolah, pendapatannya yang kecil itu memadai untuk mereka dua beranak.

Dek rumahnya yang kini hampir tidak berbumbung, anak lelakinya yang sedang menghadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menumpang di rumah seorang kawan sampai peperiksaan selesai.

“Saya mana nak ada duit. Harap-harap kot ada orang nak bantu,” kata Che Gayah, yang kematian suaminya 10 tahun lalu.

Che Gayah melihat beberapa sukarelawan yang membantu membersihkan rumahnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 10 November, 2017.

Pekerja kilang, Sartini Saridan yang tinggal selang beberapa pintu dari rumah Che Gayah pun mengeluh tentang perabotnya.

“Tiga tilam tak boleh pakai, campur perabot, mesin basuh dan tikar getah. Taklah banyak tetapi sakit kepala juga,” kata wanita 32 tahun itu yang tinggal bersama mertuanya.

Sambil mencongak-congak apa rosak dan perlu diganti, dia berharap kerajaan negeri akan beri sedikit bantuan.

“Makanan saya tak risau. Kain baju yang ada ni pun cukup. Tilam saya kena beli dan ini pening sebab nak beli kena beli tiga.”

“Almari pun nak kena beli baru. Pintu pun mungkin nak kena tukar sebab bingkai kayu dah rosak. Kalau kerajaan negeri boleh bantu sikit untuk baiki rumah, bolehlah ringan sikit,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membantu rakyat menghadapi kesan banjir. Ini termasuk bayaran sekali RM500 untuk semua rumah yang terjejas banjir serta mengecualikan surcaj konservasi air bagi tempoh bayaran satu pusingan sepanjang dua bulan bagi pengguna domestik.

Menurut Lim, bencana itu menjejaskan lebih kurang 100,000 isi keluarga di negeri itu dan melibatkan pemindahan 12,559 orang.

Di Taman Free School, Sundaram Arjunan, 68, sedang mencuci kain sarinya ketika ditemui semalam. Malah, sejak lima hari lalu selepas terkena banjir dia belum selesai lagi mencuci semua kain sarinya, baru separuh saja tercuci.

Dia menganggarkan keluarganya perlu membelanjakan lebih kurang RM10,000 untuk menggantikan tilam, almari dan perkakas elektrik.

Pesara Chin Liew Fu yang tinggal di kawasan perumahan yang sama lega album foto perkahwinannya selamat.

“Duit bukan boleh beli balik kenangan dan gambar-gambar. Mesin basuh saya rosak tetapi saya boleh beli yang baru dan saya dah beli,” kata pesara itu.

Apabila ribut melanda pada Sabtu dan air naik dengan cepat, Chin memberitahu isterinya supaya lekas meninggalkan rumah, pergi ke rumah jiran yang terletak di tempat lebih tinggi. Dia mahu menunggu rumah dan menjaga barang.

“Saya angkat tangan apabila air sampai lima kaki. Isteri saya pun asyik telefon bertanya dari rumah jiran itu,” kata Chin.

Chin, 66, berterima kasih pada jirannya, Dr Elizabeth Anthony dan suami yang rumah mereka terletak di kawasan lebih tinggi.

Pada malam kejadian, pasangan itu menumpangkan 21 jiran termasuk Chin dan isteri.

“Tak ada siapa mahu jadi macam itu. Rumah saya lebih selamat. Mereka hendak tempat berlindung, mana lagi mereka nak pergi waktu-waktu macam itu? Setengah daripada mereka orang tua,” kata Dr Anthony.

Mereka bermalam di rumah dan balik ke rumah masing-masing keesokan harinya untuk mula mencuci rumah.

Walaupun rumahnya di tempat yang lebih tinggi, lantai bawah rumah Dr Anthony terkena banjir juga.

“Tidaklah teruk seperti orang lain. Saya gembira dapat tolong orang lain. Jiran-jiran saya selamat dan tumpang di tingkat atas,” katanya. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen