Bersatu perlu kembali bersama Pakatan, kata sumber parti


Chan Kok Leong

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu keluar dari PH tidak lama selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

BERSATU tiada pilihan selain kembali bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) dan PAS semalam menolak cadangan sebuah kerajaan campuran pelbagai parti sebaliknya mendesak satu pilihan raya semula susulan kemelut politik yang bermula sejak hujung minggu lalu, kata sumber dalaman parti.

Sumber Bersatu memberitahu The Malaysian Insight keputusan BN dan PAS menjadikannya kini parti yang bersendirian dan menggagalkan usaha membentuk kerajaan baharu.

“Kita masih boleh buang yang keruh kerana Dr Mahathir masih pengerusi PH dan parti-parti politik memberi ikrar menyokongnya sebagai perdana menteri.

“Ini boleh berlaku sekiranya semua pemimpin kembali berpegang pada mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lepas,” kata sumber.

Pada Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan Dr Mahathir menentukan sendiri bila beliau akan meletakkan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) November ini.

Sumber menjelaskan pilihan raya baharu tidak akan menguntungkan PH mahupun Bersatu.

“Sekiranya kita balik pada (keputusan Jumaat lepas), kita masih boleh laksanakan beberapa janji yang dibuat sebelum PRU14,” katanya.

Semalam, BN dan PAS mendedahkan mereka memberitahu Yang di-Pertuan Agong mereka mahu pilihan raya diadakan semula selepas Dr Mahathir letak jawatan dan selepas Bersatu keluar dari PH.

Mereka juga mengumumkan menolak tawaran Dr Mahathir untuk membentuk sebuah kerajaan campuran melibatkan semua parti politik.

Yang di-Pertuan Agong hari ini akan menyambung sesi temuduga bersama setiap seorang ahli Parlimen secara bersemuka empat mata untuk menentukan kerajaan baharu.

Ahli Parlimen  PAS keluar dari Istana Negara di Kuala Lumpur selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight,  26 Februari, 2020.

Semalam, 90 daripada 222 ahli Parlimen yang ditemuduga ditanya calon perdana menteri pilihan mereka atau sama ada mahu Parlimen dibubarkan.

Proses itu dibuat selepas Dr Mahathir kelmarin letak jawatan perdana menteri.

Selang tidak lama ada berita Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, muncul pula pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu keluar dari PH. Tidak lama selepas itu, Dr Mahathir mengumumkan pula beliau melepaskan jawatan pengerusi Bersatu.

Tindakan Bersatu keluar PH dibuat sehari selepas ahli Parlimen dari beberapa parti politik termasuk BN dan PAS serta mereka yang menyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, yang dikaitkan dengan usaha membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu, seorang pemimpin PH yang menghadiri mesyurat majlis presiden parti itu malam tadi berkata mereka tidak membincangkan penyertaan semula Bersatu.

Beliau bagaimanapun menambah PH tidaklah pula menolak idea itu.

“Tetapi kita hanya boleh bincangkan hal ini apabila keadaan lebih jelas,” katanya.

Pemimpin tertinggi PH yang menghadiri mesyuarat majlis presiden parti itu malam tadi bagaimanapun meninggalkan lokasi tanpa bercakap kepada wartawan. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen