SATU kajian mengenai trend Twitter.com menunjukkan lebih satu pertiga pengguna aplikasi Twitter di Malaysia “mengikuti” (follow) Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, Khairy adalah kedua paling banyak diikuti di Malaysia selepas aplikasi perkongsian foto popular Instagram.
Kajian yang dilakukan oleh Politweet.org, mengatakan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ adalah ahli politik tempatan paling banyak diikuti.
Kedua di belakang ketua Pemuda Umno itu adalah Perdana Menteri Najib Razak (ketujuh secara keseluruhan) diikuti pemimpin PKR yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim (ke-61) dan anak perempuannya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (ke-79).
Kajian itu, berdasarkan penemuan Oktober 2017, mengatakan ahli Parlimen Rembau itu mempunyai capaian pasaran sebanyak 35.665% manakala aplikasi perkongsian foto Instagram mempunyai 39.385% daripada keseluruhan pasaran.
“Capaian pasaran ditakrifkan sebagai peratusan pengguna di Malaysia yang mengikuti pengguna Twitter itu. Berdasarkan senarai ini, Khairy adalah individu paling diikuti dan kebanyakan pengikutnya rakyat Malaysia di negara ini,” kata pengasas politik Ahmad Kamal Nava.
Peratusan pasaran mencerminkan pengikut mereka di Twitter, kata Kamal kepada The Malaysian Insight.
Sasterawan Negara dan penyair A Samad Said (ke-80), yang menyertai DAP pada 2015, tempat kelima dalam senarai ahli politik paling diikuti adalah Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman (ke-119) dan Pengerusi, Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad (ke-138).
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen, Pandan Rafizi (ke-139), diikuti Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir (ke-197) dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein (ke-235).
“Antara akaun baru, Dr Mahathir bergerak naik dengan cepat,” kata Kamal.
“Walaupun akaun @chedetofficial hanya bermula pada 2015, ia sudah mempunyai 287,000 pengikut berbanding akaun lama seperti @SyedSaddiq, yang mempunyai 293,000 pengikut. Akaun Syed Saddiq dibuka pada 2012.”
Menurut Kamal, kajian Politweet menggunakan saiz sampel sebanyak 24,677 pengguna Twitter dan memperluaskannya sehingga kepada jumlah pengikut (follower).
“Ini menghasilkan senarai 2.07 juta pengguna, yang kemudiannya digunakan untuk merangkumkan 207,500 akaun pengguna yang paling banyak diikuti oleh pengguna di Malaysia.”
Selain menganalisis mana-mana ahli politik yang popular atau paling banyak diikuti, Kamal berkata, kajian itu juga boleh digunakan untuk pemasaran afiniti kerana ia boleh mencadangkan pengguna mana yang perlu diikuti berdasarkan sasaran.
Akaun paling banyak diikuti oleh pengguna Twitter Malaysia ialah Instagram, Khairy, 9GAG, blogger video Mat Luthfi, penyanyi Yuna, saluran berita Astro Awani, Najib, jadual waktu solat Kuala Lumpur waktuSolatKL, kata-kata inspirasi akaun Santapan Minda dan pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus. – 10 November, 2017.
-10_most_popular_politicians_on_twitter.jpg)
Komen