SENADA dengan permintaan pergerakan masyarakat sivil dan persatuan penduduk, seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR menggesa kerajaan Pulau Pinang menghentikan semua pembangunan kawasan dan lereng bukit.
Adun Batu Uban, Dr T. Jayabalan berkata semua projek sepatutnya dihentikan sehingga kajian mendalam dilakukan ke atas lereng bukit terbabit.
“Cukup cukuplah. Perlu kita tunggu kejadian lain berlaku dahulu ke? Ia masa yang tepat (untuk hentikan pembangunan jenis ini),” katanya ketika memperdebatkan Bajet 2018 negeri di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang malam ini.
Jayabalan sebelum itu memberi contoh kejadian tanah runtuh pada 21 Oktober di tapak pembinaan Tanjung Bungah yang membunuh 11 orang pekerja. Tapak pembinaan itu terletak berhampiran lereng bukit.
Kejadian itu mencetuskan desakan baru supaya kerajaan negeri menghentikan pembangunan di kawasan dan lereng bukit.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) juga menyuarakan bantahannya kepada pembangunan jenis itu kerana bimbangkan kejadian tanah runtuh.
Beliau juga mengkritik kenyataan Adun Seri Delima (DAP) R.S.N Rayer awal hari ini yang tidak semua tanah runtuh berlaku kerana pembangunan.
Rayer berkata kejadian tanah runtuh di Bukit Pulau Pinang hujung minggu lepas berlaku di tempat yang tiada pembangunan.
“ Nampaknya pendirian kerajaan negeri ialah lebih banyak tanah runtuh berlaku di tempat tanpa pembangunan berbanding tempat yang ada pembangunan.
“Saya rasa nasib baiklah tiada pembangunan di situ, kerana jika tidak ada nyawa yang terancam,” kata Shariful ketika memperdebatkan bajet negeri.
Shariful turut membangkitkan projek perumahan mewah di Tanjung Bungah yang jalannya runtuh ketika ribut hujung minggu lepas.
Jalan di kawasan perumahan itu runtuh selepas dinding penahan di bawahnya rosak kerana hujan lebat. Jalan yang runtuh itu merosakkan beberapa buah rumah yang masih belum diduduki kerana masih menunggu sijil layak menduduki.
“Nampaknya ramai orang kaya di Pulau Pinang yang mampu memiliki rumah sebegitu. Bila ada permintaan untuk rumah lereng bukit dan menghadap laut dengan pemandangan indah, ia akan dibekalkan oleh pemaju.
“Selaku kerajaan CAT (cekap, akauntabel dan telus), pentadbiran sepatutnya mempunyai dasar untuk menghalang kejadian sebegitu dan menyekat ketamakan pemaju,” kata Shariful.
Rayer membidas hujah Shariful dengan mengatakan contoh jalan runtuh di Tanjung Bungah berbeza dengan tanah runtuh Bukit Pulau Pinang.
Katanya, kejadian seperti lubang benam boleh disebabkan oleh peraturan tidak dipatuhi ketika pembinaan atau faktor-faktor lain.
Shariful mengatakan Rayer mempunyai asas yang tiada jaminan dapat diberikan semua pemaju akan mematuhi peraturan.
“Tetapi jika pemaju bina atas tanah landai, tiada kejadian seperti itu hari ini.
“Pemaju boleh baiki dan baik pulih rumah dan jalan rosak, tetapi apa jaminan yang tidak akan ada pergerakan tanah di masa depan?” katanya.
Dalam kenyataan malam semalam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang mengatakan jurutera perunding projek sudah diarah untuk menyiasat kejadian lubang benam itu dan menyelia kerja-kerja mitigasi.
Majlis mengatakan perunding juga diarahkan untuk memeriksa dua bangunan kondominium berhampiran kawasan terjejas. Dua bangunan yang terletak agak jauh dilaporkan selamat. – 9 November, 2017.
Komen