KETIADAAN tokoh pemimpin yang jadi penyatu ditambah pula ahli politik yang terkait dengan kes rasuah, adalah dua sebab utama mengapa kerajaan yang mahu dibentuk tidak stabil, kata penganalisis politik.
Malah, sesetengah daripada mereka meramalkan atas sebab ini jugalah lebih banyak perbalahan akan membelenggu “kerajaan pintu belakang” berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Parti komponen PH, Bersatu, mengumumkan keluar dari pakatan itu semalam. Begitu juga 11 ahli Parlimen dari PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali.
Sehari sebelumnya, pemimpin kanan Bersatu dan penyokong Azmin bersama pemimpin pembangkang dari Umno dan PAS menghadiri mesyuarat khas serta majlis makan malam di Hotel Sheraton Petaling Jaya.
Ini mencetus spekulasi bahawa Bersatu bersama 11 bekas ahli Parlimen PKR, Umno, PAS dan parti dari Sarawak akan membentuk sebuah kerajaan baharu.
Kerajaan baharu ini digelar “kerajaan pintu belakang” kerana cuba merampas kuasa tanpa melalui pilihan raya.
“Muafakat Nasional (Umno dan PAS) tiada keperibadian yang boleh menyatukan rakyat, terutamanya selepas episod yang mengejutkan ini.
“Sebab itulah mereka mengharapkan Tun (Dr Mahathir Mohamad), tetapi beliau tidak nampak seperti akan menyertai mereka,” kata Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre.
Dr Mahathir meletak jawatan selaku pengerusi Bersatu selepas meletak jawatan perdana menteri semalam.
Beliau didakwa tidak bersetuju dengan hasrat Bersatu untuk menyertai “kerajaan pintu belakang”, menurut bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, yang bertemu ahli Parlimen Langkawi itu pagi semalam.
Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga kerajaan baharu diumumkan.
“Tun sepatutnya menyatukan ‘kerajaan pintu belakang’ ini,” kata pensyarah sains politik Prof James Chin.
Menurut Chin, apa yang menjadi masalah kepada “kerajaan pintu belakang ini” mereka tidak boleh mengharapkan Dr Mahathir akan terus menjadi perdana menteri sehingga 2023, iaitu sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Usia beliau sekarang 94, bagaimana hendak harapkan sehingga 2023? Mereka kata lantik Azmin (jadi PM) tetapi Umno dan PAS akan bantah.” – 25 Februari, 2020.
Komen