Pakej rangsangan tangani Covid-19 mungkin tidak diumum Khamis


Ragananthini Vethasalam

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata pakej rangsangan bagi membantu ekonomi akibat Covid-19 mungkin tidak diumumkan seperti dijadualkan pada 27 Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

KEMUNGKINAN besar pakej fiskal bagi membantu ekonomi dalam berdepan wabak Covid-19 tidak akan diumumkan mengikut jadual pada 27 Februari, kata Ong Kian Ming.

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata ia susulan berakhirnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Katanya, pembiayaan untuk pakej itu masih belum diluluskan oleh Kabinet. Menteri sepatutnya membincangkan dan meluluskan pembiayaan itu pada mesyuarat mingguan esok.

Ong berkata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga sepatutnya memberi taklimat kepada Dr Mahathir Mohamad tetapi ia tidak berlaku berikutan perkembangan politik yang tiba-tiba berlaku hingga mendorong kepada peletakan jawatan perdana menteri.

“Sepatutnya diluluskan dalam Kabinet esok. Jadi, tidak, ia tidak diluluskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tidak mungkin pakej rangsangan fiskal itu akan diumumkan pada Khamis, memandangkan tidak ada kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir dijadualkan mengumumkan pakej rangsangan itu bagi menangani kesan akibat wabak Covid-19 pada 27 Februari.

Bagaimanapun, beberapa insiden berlaku dalam negara hingga membawa kepada pembubaran kerajaan PH dan Kabinetnya semalam. – 25 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen