PERBICARAAN kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini ditangguhkan selepas pembelaan memaklumkan kepada mahkamah kenyataan saksi belum selesai disemak.
Peguam Farhan Read berkata Rosman Abdullah, yang mempunyai kaitan dengan Putra Perdana Construction, memerlukan satu hari lagi untuk menyiapkan kenyataan saksinya dengan pembelaan.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah Najib perlu menghadiri mesyuarat di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan kemudian ke Istana Negara untuk mengadap Agong.
Shafee tidak menyatakan butiran mengenai mesyuarat tersebut.
Hakim Nazlan Mohd Ghazali kemudian menangguhkan perbicaraan kepada jam 2 petang esok.
Berkenaan saksi lain, Shafee berkata pembelaan mahu memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, bekas setiausaha sulit Najib Shukry Mohd Salleh dan bekas peguam negara Apandi Ali.
Latheefa Lakan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dua rakaman audio membabitkan Najib yang didedahkan pada Januari.
Rosman adalah pengarah urusan firma pembangunan hartanah Putrajaya Perdana Bhd.
Pada perbicaraan semalam, pembelaan berkata mereka tidak akan memanggil pakar tulisan Australia Steven Strach untuk memberi keterangan.
Strach telah memeriksa dokumen pada 11 dan 12 Februari tetapi masih belum dapat memberi laporan selain laporan awalnya, jelas Shafee dalam surat yang dikemukakan kepada mahkamah semalam.
Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram juga semalam berkata beberapa saksi pendakwaan tidak dapat dikesan atau tiada untuk ditawarkan kepada pembelaan.
Saksi-saksi berkenaan adalah bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Low Taek Jho, Izzad Izzairi Fikri Rosman, Noriyah Ahmad, Zainal Abidin Osman dan Jerome Lee Tak Loong.
Ahmad Norhisham Hassan dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias pula sudah meninggal dunia.
Najib, 66, menghadapi tujuh pertuduhan menerima RM42 juta daripada SRC International antara Disember 2014 dan Februari 2015. – 25 Februari, 2020.
Komen