Pemimpin Bersatu tiba di kediaman Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Pintu masuk ke kawsan kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

SEORANG demi seorang pemimpin Bersatu dimulai dengan presidennya Muhyiddin Yassin ke kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan pagi ini.

Muhyiddin tiba pada jam 8.05 pagi, diikuti Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir yang tiba lima minit kemudian.

Turut menyertai mereka adalah Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, yang masuk ke kediama Dr Mahathir melalui laluan lain.

Tidak diketahui sama ada mereka mengadakan mesyuarat dengan Dr Mahathir yang meletak jawatan selaku pengerusi parti semalam. 

Dr Mahathir dilihat meninggalkan kediamannya pada jam 9.15 pagi. Difahamkan, beliau sedang menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Muhyiddin kemudian dilihat keluar pada jam 9.35 pagi, diikuti Rina pada 9.55 pagi.

Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan selaku perdana menteri semalam, sejam selepas Muhyiddin umum Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali kemudiannya dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Agong juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, kenyataan itu dipetik. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen