Dua kali letak jawatan, dua kali Dr Mahathir buat kejutan


K. Kabilan

Dr Mahathir Mohamad kelihatan keluar dari Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri. – Gambar EPA, 25 Februari, 2020.

APABILA Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan mengumumkan persaraannya sebagai perdana menteri kali pertama dulu pada 22 Jun, 2002, beliau mendedahkan dalam memoirnya bagaimana beliau merancang pengumuman itu sejak berbulan-bulan sebelumnya.

“Saya simpan sendiri. Saya tidak beritahu sesiapa, termasuk Hasmah,” tulisnya pada 2011, merujuk kepada isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir mengumumkan rahsia yang beliau pegang erat itu dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno, pada lebih kurang  5.50 petang.

Ucapannya disiarkan secara langsung melalui televisyen, dan seluruh negara menyaksikan pengumuman peletakan jawatannya.

Pemimpin Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dalam reaksi segera, penuh dengan rasa terkejut dan berjurai air mata.

Ketua Wanita ketika itu, Rafidah Aziz dan ketua Pemuda Hishammuddin Hussein meluru naik ke pentas untuk menenangkan Dr Mahathir yang cukup beremosi.

Rafidah terdengar bertanya: “Why… why… why?” (Kenapa… kenapa… kenapa?)

Di galeri hadirin, kamera menangkap riak wajah Dr Siti Hasmah yang nampak tergamam.

“Orang di keliling mencuitnya menyuruh dia turun dan memujuk saya menukar fikiran,” tulis Dr Mahathir.

Beliau juga berkongsi apa yang dirasakannya semasa membuat pengumuman itu.

Katanya: “Sebelum membuat pengumuman itu, saya bimbang kemungkinan saya akan menangis tetapi apa yang berlaku lebih teruk lagi. Walaupun sudah berlatih untuk mengucapkannya, apabila masa itu tiba, saya tidak menyusun kata-kata.

“Saya menangis tanpa segan silu. Saya tidak boleh mengendalikan detik penting dalam hidup saya seperti yang saya bayangkan,” tambahnya.

Desakan supaya beliau menimbang semula keputusan datang bertalu-talu. Pengerusi tetap Umno, Sulaiman Ninam Shah kemudian menyambung persidangan dan menolak keputusan Dr Mahathir letak jawatan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu menolak peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti dan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

Dua jam kemudian, selepas dipujuk, timbalannya Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Dr Mahathir menarik balik keputusan. Pada masa itu, Dr Mahathir sudah meninggalkan PWTC.

Selama beberapa hari kemudian, pemimpin Umno dan Barisan Nasional terus memujuk Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri, manakala pembangkang menyifatkan seluruh episod itu sebagai sandiwara.

Dr Mahathir bertegas tetap mahu berhenti. Keputusan akhirnya dibuat. Beliau menetapkan 31 Oktober, 2003 sebagai tarikh persaraannya, membuka jalan kepada peralihan yang teratur kepada Abdullah.

Menurut Dr Mahathir, beliau membuat keputusan letak jawatan kerana merasakan sudah menyumbang bakti yang terbaik. Beliau teringat pesan ibunya – berhenti makan sebelum kenyang.

Katanya lagi, beliau tahu beliau masih popular pada masa itu tetapi mahu “menyumbang sesuatu yang lain semasa tempoh hayatnya yang tidak begitu sibuk”.

Penyerahan pentadbiran kepada Abdullah pada 2003 selaras dengan pelan peralihan kuasa.

Namun tidak lama selepas itu, Dr Mahathir kecewa dengan penggantinya. Kekecewaannya membawa kepada siri peristiwa yang dalam tempoh 15 tahun turut menyaksikan Najib Razak naik dan kemudian jatuh. Dr Mahathir juga diangkat sekali lagi jadi perdana menteri.

Sekali lagi

Lapan belas tahun selepas pengumumannya yang mengejutkan pada petang 22 Jun, 2002, Dr Mahathir semalam sekali lagi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Kali ini, tanpa hadirin. Tanpa televisyen. Tanpa air mata, setidak-tidaknya di khalayak ramai, dan barangkali, tanpa sempat beliau menyiapkan persaraannya.

Adakah beliau juga menyembunyikan keputusan itu daripada isterinya? Kita tidak tahu.

Beliau bagaimanapun memberitahu pemimpin PH yang datang bertamu di rumahnya pagi semalam.

Pengumuman itu pendek dan ringkas. Kenyataan dua perenggan dari Pejabat Perdana Menteri memaklumkan peletakan jawatannya dan sudah menyerahkan surat kepada Yang Di-Pertuan Agong pada pukul 1 petang.

Bunyinya seperti beliau sudah tidak kuasa.

Keputusannya mengejutkan bekas rakan-rakan politiknya dalam Pakatan Harapan (PH). Mereka menggesa beliau supaya kembali sebagai perdana menteri. Sementara itu, pihak pembangkang cuba mengambil kesempatan.

Peletakan jawatan Dr Mahathir menyebabkan gabungan PH runtuh. PKR yang diterajui Anwar Ibrahim juga kehilangan beberapa ahli Parlimen yang keluar parti.

Dalam masa tiga hari sejak mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat malam, kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri berubah daripada “terpulang kepada saya” kepada “saya letak jawatan” pada Isnin.

Seri Paduka menerima peletakan jawatan Dr Mahathir ketika menerima beliau mengadap di Istana Negara, dalam pertemuan yang dipercayai memakan masa lebih satu jam, petang semalam.

Yang Di-Pertuan Agong bagaimanapun mahu beliau kekal sebagai perdana menteri interim sehingga pelantikan baharu dibuat, bersama barisan jemaah menteri yang baharu.

Adakah tempoh sementara itu akan mengubah fikiran Dr Mahathir?

Adakah rakyat Malaysia akan terkejut sekiranya beliau kembali sebagai perdana menteri?

Setakat ini, keadaan masih belum dapat dipastikan, dengan pelbagai percaturan terus jadi spekulasi. Namun kali ini ternampak jelas Dr Mahathir sudah tidak lagi kuasa. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen