Orang kuat Azmin muncul di mesyuarat Bersatu


Diyana Ibrahim

Sebahagian daripada petugas media yang berkumpul di bangunan Yayasan Selangor yang terletaknya ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2020.

SETIAUSAHA politik bekas pemimpin PKR Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham muncul di bangunan pejabat Bersatu yang mengadakan mesyuarat parti berkenaan malam ini.

Ketika ditanya, Hilman mengakui beliau sememangnya hadir untuk menghadiri mesyuarat di bangunan berkenaan.

“Datang untuk mesyuarat,” katanya yang menuju ke tingkat 9 bangunan di Petaling Jaya, lokasi mesyuarat Bersatu diadakan.

Para pemimpin Bersatu mula hadir di ibu pejabat itu sejak jam 8 malam ini bagi menghadiri mesyuarat susulan beberapa perkembangan mengejutkan sejak beberapa hari lalu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dilaporkan akan mempengerusikan mesyuarat itu tiba kira- kira jam 8.30 malam.

Ia dijangka akan membincangkan langkah parti itu susulan peletakan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti dan juga sebagai perdana menteri.

Peletakan jawatan itu sekali gus membubarkan Kabinet dan kerajaan Pakatan Harapan.

Susulan peletakan jawatan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan, Dr Mahathir tidak terlibat dalam gerakan menjatuhkan Pakatan Harapan dengan mewujudkan kerajaan gabungan yang baharu.

Menurut Anwar, nama Dr Mahathir digunakan orang dalam dan luar parti sedangkan beliau tiada peranan dalam hal itu.

Dr Mahathir juga menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu, kata Anwar. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen