Laman 'Penang Bangkit' dilancar esok


Looi Sue-Chern

LEBIH banyak bantuan untuk mangsa banjir kilat Pulau Pinang dan kerajaan negeri akan melancarkan sebuah laman sesawang untuk hebahan maklumat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata laman sesawang itu, penangbangkit.com akan dilancarkan esok.

Katanya matlamat program Pulau Pinang Bangkit adalah untuk membantu mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat perlindungan kembali ke rumah mereka dan membantu kehidupan rakyat Pulau Pinang selepas tragedi itu kembali kepada biasa.

Katanya laman itu akan menghebahkan pengumuman program pasca bencana kepada rakyat.

“Orang awam boleh mendapatkan maklumat tentang bantuan kerajaan kerana akan ada lebih banyak bantuan akan diberikan.

“Aka nada juga maklumat promosi dan tawaran sektor swasta, seperti Uber dan Grab yang memberikan diskaun untuk membantu rakyat dengan masalah pengangkutan selepas dilanda banjir kilat.

“Kami akan muat naik maklumat terperinci dalam laman sesawang itu,” katanya.

Banjir kilat yang melanda Pulau Pinang awal minggu ini adalah yang terburuk sejak beberapa dekad menyebabkan lebih 12,500 orang terpaksa dipindahkan.

Hujan lebat dan angin kencang pada Sabtu dan awal Ahad menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang.

Awal hari ini, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan dana khas RM100 juta untuk bencana banjir di bawah program Pulau Pinang Bangkit. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen