Ketika banjir, kanak-kanak diceriakan perpustakaan bergerak


Muzliza Mustafa

Kehadiran perpustakaan bergerak menceriakan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di Kampung Guar Jering, Permatang Pauh Pulau Pinang. Ia menghilangkan kebosanan menumpang di pusat pemindahan yang rasanya seperti terkurung dalam penjara. – Gambar The Malaysian Insight, 9 November, 2017.

WALAUPUN baru dua hari terperuk di pusat pemindahan banjir di Kampung Guar Jering di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ahad dan Isnin lepas, Mohd Solehuddin Othman sudah tidak lagi senang duduk.

Bagi budak berumur lapan tahun yang biasa ke sana ke mari kalau tidak ke sekolah itu, duduk menumpang di pusat pemindahan rasanya seperti terkurung dalam penjara.

Ke sekolah dia tidak, kerana banjir sejak malam Ahad lalu menyebabkan dia tidak lagi ada seragam sekolah. Tetapi bukan saja seragam sekolah yang dia tidak lagi ada; seluruh harta benda keluarganya pun tidak tahu apa untung nasibnya kerana tenggelam dalam banjir selepas hujan lebat luar biasa dan ribut siang malam pada Sabtu lalu.

“Bosan dah duduk dalam dewan. Tidoq (tidur) nak boleh lama mana. Nak main mak tak bagi,” katanya kepada The Malaysian Insight semalam.

Tetapi sejak kelmarin, dia dan kawan-kawan hampir sebaya yang sama-sama menumpang berteduh di pusat pemindahan banjir itu ada “hiburan” baru — membaca buku.

Di luar dewan orang ramai yang dijadikan pusat pemindahan itu datang sebuah bas yang ditukarkan menjadi perpustakaan bergerak milik Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang di Seberang Jaya.

Sejak Selasa lalu, bas tersebut ada di pusat pemindahan mangsa banjir itu bermula pukul 10 pagi sampai 4 petang.

“Bosan duduk dalam dewan saya datang duduk di sini, baca buku,” kata Solehuddin.

Matanya ligat mencari buku pada rak perpustakaan itu yang menarik minatnya, sambil mulutnya tidak berhenti-henti bercakap. Matanya terhenti pada sebuah buku yang terletak di rak paling atas, melepasi kepalanya. Dia berjengket dan mencapai buku yang dihajatinya.

“Saya suka baca komik. Tapi sini komik tak dak (tidak ada). Jadi saya baca saja buku mana yang syok (yang memikat hati)... buku cerita atau buku haiwan. Hilang juga bosan,” katanya.

Tidak seperti Solahuddin, kawannya, Mohd Alif Haikal, 13, agak pendiam. Petang semalam, balik saja dari sekolah, Alif menukar baju di dewan yang kini jadi rumah sementara untuk dia dan keluarga, dan terus datang ke perpustakaan bergerak itu.

Bas yang diubah suai menjadi perpustakaan bergerak untuk mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan menjadi tempat tumpuan kanak-kanak. – Gambar The Malaysian Insight, 9 November, 2017.

Sama seperti Solahuddin, matanya juga ligat mencari buku yang digemarinya. Dia capai sebuah buku lalu duduk bersila di lantai bas yang berlapik tikar getah dan tidak lagi menghiraukan dunia di sekelilingnya.

Kehadiran perpustakaan bergerak di kawasan terjejas banjir ini adalah hasil inisiatif pengurusan perpustakaan negeri untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada kanak-kanak yang menumpang di pusat pemindahan mangsa banjir.

Selepas dilanda banjir sejak malam Ahad, keadaan di Seberang Prai hari ini bertambah baik, lapor Bernama. Setakat pukul 2 petang tadi, seramai 2,670 orang daripada 688 keluarga masih ditempatkan di 36 pusat pemindahan di Seberang Prai Utara dan Seberang Prai Tengah, berbanding 3,213 orang pada sebelah pagi.

Menurut pemandu bas buku ini, Baharom Omar, 57, pihak pengurusan perpustakaan menetapkan beberapa buah perpustakaan bergerak khusus untuk keperluan mangsa banjir.

Katanya, setahu dia ada dua buah perpustakaan bergerak yang dikirimkan khusus untuk mangsa banjir — sebuah ke pusat penempatan di Guar Jering manakala sebuah lagi ke Sungai Dua.

“Daripada depa (mereka) buang masa berlari berkejar nanti jatuh masuk air bah baik depa duduk sini baca buku percuma,” kata Baharom.

Menurut pemandu bas buku ini, Baharom Omar, 57, pihak pengurusan perpustakaan menetapkan beberapa buah perpustakaan bergerak khusus untuk keperluan mangsa banjir. Katanya, setahu dia ada dua buah perpustakaan bergerak yang dikirimkan khusus untuk mangsa banjir — sebuah ke pusat penempatan di Guar Jering manakala sebuah lagi ke Sungai Dua. – Gambar The Malaysian Insight, 9 November, 2017.

Bas yang dibawanya sudah dijadikan perpustakaan bergerak sejak 1998 dan berkhidmat di kawasan Seberang Prai Tengah dan Seberang Prai Selatan, dengan 34 tempat berhenti.

Sambil tersenyum menampakkan giginya yang hampir tiada, Baharom yang sudah 13 tahun bekerja dengan perpustakaan itu berkata budak-budak yang singgah membaca buku di basnya kadang-kadang meminta dia membawa mereka berjalan pusing kampung.

“Tengoklah, semalam (Selasa) saya bawa, hari ini (Rabu) tadi pun saya bawa sekejap. Tak jauh pun. Sepanjang jalan ini saja. Depa (mereka) bosan… tak larat dah duduk dalam dewan,” kata Baharom.

Perpustakaan bergerak itu juga menyediakan perkhidmatan pinjaman buku tetapi untuk meminjam kanak-kanak ini harus terlebih dahulu jadi ahli dan diberikan kad keahlian. Bagi kanak-kanak di bandar dan pekan, mereka dikenakan bayaran keahlian RM2 setahun manakala yang di kampung, mereka boleh meminjam dengan percuma.

Perpustakaan milik kerajaan negeri ini memiliki 11 buah bas yang dijadikan perpustakaan bergerak. Sekali setiap minggu, setiap bas ini ditugaskan ke tempat-tempat yang sudah diatur jadualnya untuk memberikan kemudahan bahan bacaan untuk mereka yang sukar untuk ke perpustakaan. – 9 November, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen