WALAUPUN PAS ialah sebahagian daripada kerajaan Selangor, ia tidak menghentikan aktivis Pemuda PAS dari negeri itu mendesak parti mereka mengakhiri ikatan dengan sekutu politiknya PKR.
Malah, perwakilan Pemuda PAS Selangor Shukri Omar turut mengecam Menteri Besar Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR kerana menghina ulama parti Islam itu.
Shukri turut menyelar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang baru-baru ini mendakwa wang diseleweng daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MBD) diberikan kepada individu yang ada kaitan dengan PAS.
“Saya beri amaran kepada Rafizi jika dia berani, bertandinglah sekali lagi di Pandan (kerusi Parlimen) dan berdepan dengan ahli kami.
“Saya beri amaran pada Azmin jika dia tidak sokong orang kita, dia akan jadi Adun satu penggal saja di (Bukit Antarabangsa),” katanya pada perhimpunan Pemuda PAS di Alor Setar, Kedah, hari ini. – 28 April, 2017.
Komen