MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu peguam bela Najib Razak tidak akan memanggil pakar tulisan Australia Steven Strach untuk memberi keterangan dalam perbicaraan SRC International membabitkan bekas perdana menteri itu.
“Kebuntuan timbul berkaitan terma pelantikan Dr Steven (Strach) dan oleh itu kami tidak dapat meneruskan pelantikannya,” kata peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam salinan surat yang dikemukakan kepada mahkamah.
Keputusan pasukan pembelaan itu dimaklumkan kepada mahkamah selepas perbicaraan pagi tadi.
Strach telah memeriksa dokumen pada 11 dan 12 Februari tetapi masih belum dapat memberi laporan selain laporan awalnya, jelas Shafee dalam surat itu.
Beliau juga memaklumkan pembelaan akan memanggil bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh sebagai saksi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya juga akan dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dua rakaman audio membabitkan Najib yang didedahkan pada Januari.
Sementara itu, TImbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram berkata beberapa saksi pendakwaan tidak dapat dikesan atau tiada untuk dipanggil oleh pembelaan.
Saksi-saksi berkenaan adalah bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, Low Taek Jho, Izzad Izzairi Fikri Rosman, Noriyah Ahmad, Zainal Abidin Osman dan Jerome Lee Tak Loong.
Ahmad Norhisham Hassan dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Azlin Alias pula sudah meninggal dunia.
Bekas peguam negara Apandi Ali hadir di mahkamah tidak dipanggil memberi keterangan hari ini. Shafee memaklumkan kepada mahkamah ibu Apandi terpaksa bergegas pulang kerana ibunya sakit.
Pengarah urusan firma pembangunan hartanah Putrajaya Perdana Bhd Rosman Abdullah dijangka menjadi saksi terakhir yang akan dipanggil pembelaan.
Najib, 66, menghadapi tujuh pertuduhan menerima RM42 juta daripada SRC International antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Perbicaraan bersambung esok. – 24 Februari, 2020.
Komen