WANITA tidak patut disalahkan berkaitan jenayah ganas yang dilakukan ke atas mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Khairy mengatakan wanita dan cara mereka berpakaian seringkali disalahkan apabila jenayah berat seperti gangguan seksual dan rogol berlaku.
“Saya rasa kita masih ada masyarakat patriaki yang misogynistik jadi kita masih dapat banyak komen setiap kali berlaku jenayah berat terhadap wanita berlaku seperti rogol.
“Perkara pertama yang mereka akan komen bukanlah tentang penjenayah tetapi cara tertentu wanita berpakaian,” katanya kepada 600 hadirin pada dialog bakat muda TN50 Khazanah Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy mengatakan perlu adanya pihak yang lantang bersuara menentang mereka yang menyalahkan wanita kerana isu itu seringkali berlaku dan berleluasa dalam kalangan orang Melayu di media sosial.
“Ia berleluasa. Jenis pemikiran seperti ini, saya boleh kata hampir jadi pemikiran biasa dalam kalangan akar umbi orang Melayu di Facebook.
“Apa yang wanita pilih untuk pakai tidak pernah jadi alasan untuk gangguan dan rogol,” katanya menjawab persoalan seorang peserta dialong yang membangkitkan isu pemerkasaan wanita di Malaysia dan bukan diajar untuk hidup dalam ketakutan.
Beliau juga mengatakan setiap kali atlet wanita negara menjadi tumpuan kerana cara mereka berpakaian, beliau akan bangkit mempertahankan atlet tersebut dan menggalakkan orang lain untuk turut sama berbuat demikian bagi menghentikan diskriminasi terhadap wanita.
“Saya buat (bersuara) setiap kali atlet wanita saya diserang kerana pakaian mereka. Saya bersuara menentangnya walaupun saya dipanggil dengan pelbagai nama oleh orang yang mendakwa mereka lebih layak dalam urusan agama.
“Saya perlu bersuara kerana jika kita tidak bersuara kita akan tewas dalam pertempuran ini. Dan mereka akan kata semuanya salah wanita.
“Orang yang progresif pemikirannya atau lebih terang fikirnya tidak boleh jadi majoriti diam kerana kita rasa kita majoriti tetapi saya rasa kita tidak. Saya rasa kita perlu bersuara,” tambahnya.
Khairy mengadakan sesi dialog dan pertemuan town hall dengan kumpulan orang muda di seluruh negara di bawah inisiatif TN50.
Katanya, setakat ini 80,000 aspirasi belia diterima menerusi sesi yang diadakan. – 9 November, 2017.
Komen