20 sen subsidi petrol boleh bantu BN menang PRU14, kata Rafizi


Nabihah Hamid

Disember dan Januari ialah bulan paling susah buat rakyat (sebab) nak buka sekolah (untuk anak-anak), kena bayar yuran sekolah, beli kasut. Biar saya beri tip kepada Najib untuk menang PRU14. Bagi subsidi 20 sen seliter sepanjang Disember 2017 dan Januari 2018. (BN) akan menang PRU, tak ada masalah, kata Rafizi Ramli hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak wajar memberikan subsidi 20 sen per liter petrol untuk bulan Disember dan Januari sekiranya dia mahu Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu mengatakan dua bulan itu adalah bulan paling sukar untuk banyak keluarga terutama mereka yang mempunyai anak bersekolah kerana mereka perlu mengeluarkan banyak belanja sempena sesi baharu persekolahan yang akan dibuka.

“Disember dan Januari ialah bulan paling susah buat rakyat (sebab) nak buka sekolah (untuk anak-anak), kena bayar yuran sekolah, beli kasut.

“Biar saya beri tip kepada Najib untuk menang PRU14. Bagi subsidi 20 sen seliter sepanjang Disember 2017 dan Januari 2018. (BN) akan menang PRU, tak ada masalah,” katanya.

Malam tadi, harga petrol naik paling tinggi di bawah sistem MOP Singapura yang dipakai sejak 30 Mac lalu untuk mengira harga minyak.

RON95 naik 7 sen kepada RM2.31 per liter, RON97 pula naik 6 sen menjadi RM2.60 dan diesel naik 3 sen kepada RM2.20. Harga ini adalah untuk minggu 9 hingga 15 November.

Naib presiden PKR itu berkata meskipun presiden Umno itu memiliki duit yang banyak, namun hutang-hutang seperti syarikat sarat hutang, 1Malaysian Development Berhad (1MDB) menyekatnya.

“Najib duit banyak tetapi kenapa dia tak bagi balik? Dia tak turunkan harga minyak mahupun berikan bonus (penjawat awam). Sebab cara mudah dia menang PRU ialah dengan menaikkan BR1M kepada dua ribu ringgit, bagi bonus kerajaan tiga bulan.

“Saya sindir kata 20 sen itu sebab dengan 20 sen saja sebenarnya dia boleh menang pilihan raya tetapi dia tak buat macam itu.

“Sebab ada hutang 1MDB, Felda dan skandal lain, 20 sen pun dia tidak mampu bagi. Dia kena simpan untuk benda lain. Benda yang mudah pun dia tak boleh buat,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, jumlah subsidi selama dua bulan yang dicadangkannya adalah kecil berbanding kutipan lebihan yang tidak diumumkan kerajaan.

“Tak lama pun. Dua bulan sahaja. Subsidi 20 sen seliter ini hanyalah melibatkan 900 juta bagi Disember 2017 ke Januari 2018. Itu Lebih kurang 25 peratus sahaja daripada pendapatan luar jangka yang dikutip Najib sejak awal tahun,” katanya.

Rafizi pada sidang media memberitahu kerajaan pada bajet tahun lalu menganggarkan harga purata AS$45 setong.

Bagaimanapun, kiraannya yang merujuk pangkalan data World Bank mendakwa secara purata harga minyak mentah setong dianggarkan AS$53.83 yang dianggarkan membawa jumlah pendapatan luar jangka RM3.5 bilion pada tahun ini.

Justeru beliau meminta perdana menteri menjelaskan perkara berkenaan.

“Secara diam-diam Najib sebenarnya simpan pendapatan luar jangka yang telah, sedang dan akan dibelanjakan sebanyak 9.7 juta ringgit sehari selama 365 hari bersamaan RM3.5 bilion bagi tahun 2017.

“Masalahnya di mana duit itu. Siapa yang jaga duit itu. Berapa banyak yang kita dah dapat. Kita tidak tahu,” soal Rafizi lagi. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen