SERAMAI 9,600 pekerja Proton Holding Bhd (PHB) tidak akan diberhentikan walaupun berlaku perubahan pengurusan berikutan 49.9% saham Proton dibeli oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) syarikat China, kata timbalan menteri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata kepada Dewan Rakyat, walaupun Geely merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam Proton, syarikat kereta tempatan itu juga akan mengekalkan 230 vendor yang mempunyai lebih kurang 50,000 pekerja.
“Dari segi tenaga kerja, 9,600 pekerja tidak akan diberhentikan. Ini penting kerana ini sebahagian dari perjanjian,” katanya.
Malah, Proton bercadang untuk menambah pekerjanya mencapai 20,000 orang dalam 10 tahun mendatang.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli bertanya mengenai perkembangan terkini Proton selepas sebahagian sahamnya dibeli Geely.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menambah, perlantikan Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton akan membantu Proton memperbaiki dan maju ke hadapan.
Beliau juga menekankan bahawa Proton akan mengeluarkan model pemanduan bahagian kanan untuk Geely di kilangnya di Tanjung Malim.
DRB-Hicom masih kekal sebagai pemegang saham ekuiti terbesar iaitu sebanyak 50.1% dalam Proton.
Ini menjadikan ia sebagai pemilik Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran paling utama syarikat automotif tempatan itu.
Pengerusinya Syed Faisal Albar berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, Proton akan diangkat menjadi antara tiga syarikat automotif terbaik di rantai Asia Tenggara, selain mengekalkan kedudukannya dalam pasaran tempatan. – 9 November, 2017.
Komen