Dr Mahathir jumpa Anwar, Wan Azizah dan Guan Eng sebentar lagi


Ravin Palanisamy

Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilihat meninggalkan bangunan Putra Perdana kira-kira jam 10.25 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Februari, 2020.

SATU pertemuan antara Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng dijangka akan diadakan di kediaman perdana menteri di Seri Kembangan sebentar lagi.

Terdahulu, presiden PKR, timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu tiba di Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya pagi tadi. Mereka dilihat meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 10.25 pagi menaiki kenderaan rasmi masing-masing.

Dr Mahathir tidak berada di pejabatnya pagi tadi, dan The Malaysian difahamkan pertemuan mereka sebaliknya akan diadakan di kediaman beliau.

Mereka tiba di kediaman Dr Mahathir pada jam 10.45 pagi. Presiden Amanah Mohamad Sabu juga difahamkan menyertai pertemuan tersebut.

Dr Mahathir tidak turut serta ketika Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap enam pemimpin parti kerajaan dan pembangkang semalam.

Beliau juga tidak menghadiri majlis makan malam di Sheraton Petaling Jaya malam tadi, yang dianjurkan oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. Majlis dihadiri 131 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat pada Jumaat lalu memutuskan untuk menyerahkan kepada Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar.

Sehingga ke hari ini, tiada kenyataan rasmi berkenaan beberapa mesyuarat dan majlis di Sheraton semalam.

Bagaimanapun, DAP dan PKR dijangka akan bermesyuarat hari ini, termasuk Anwar dan Azizah yang akan mengadap Agong petang ini. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen