PAS minta cerai, berita buruk bagi geng Mahathir


Sheridan Mahavera

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata usul berpisah dengan PKR diluluskan sebulat suara menunjukkan ahli cukup yakin untuk bergerak sendirian pada PRU depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 April, 2017.

SUASANA dalam PAS jelas: ahli parti mahu solo pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan entah bagaimana mereka percaya parti itu akan beri kejutan pada PRU14, walaupun semua bukti menunjukkan jika PAS bersendirian menentang BN dan Pakatan Harapan, ia akan terduduk kalah.

Suasana ini bukti pada persidangan Dewan Ulama semalam di mana usul memutuskan hubungan dengan PKR dibawa dan dibentangkan, walaupun parti itu rakan rapatnya pada PRU12 dan PRU13. Ahli parti berkata mereka sudah cukup terima segala hinaan dan pengkhianatan daripada PKR.

Tetapi realitinya, gesaan untuk perceraian itu terjadi kerana PAS rasa tidak dihargai oleh rakan kongsinya itu dan tidak banyak manfaat untuk bekerjasama dengan parti yang masih tidak ada jentera diperlukan atau struktur untuk dianggap penting.

Walaupun desakan memutuskan hubungan dengan PKR masih perlu disahkan oleh Majlis Syura PAS, kesan perpisahan itu amat besar bagi masa depan pembangkang di Malaysia, terutama menjelang PRU14.

Rekod sejarah dan kaji selidik baru-baru ini menunjukkan perpecahan pembangkang hampir pasti bermakna Barisan Nasional akan dipilih semula memegang kuasa kerajaan.

Kaji selidik badan pemikir PKR, Invoke menunjukkan dalam pertandingan banyak penjuru antara PAS, BN dan Pakatan Harapan, pemenang akhirnya biasanya ialah BN.

Tetapi Muzaihar Kamal, perwakilan Dewan Ulama dari Kuala Nerus percaya PAS sudah cukup kukuh dalam kalangan pengundi Melayu untuk mampu bertanding sendirian menentang Umno dan Pakatan Harapan.

Dan melihat kepada rasa benci pengundi terhadap Umno berikutan kenaikan kos sara hidup dan isu kerajaan, tidak ada alasan untuk menolak kemungkinan penyokong tradisi Umno akan mengundi PAS, kata seorang lagi ahli PAS.

Katanya, perkara itu berlaku pada 1990 dan 1999 apabila PAS dipilih kerana pengundi Melayu Islam kecewa dengan Umno.

Tindakan akar umbi PAS yang sanggup mengambil risiko kehilangan semua dasar politik diperoleh sejak PRU 2008, ketika ia bekerjasama dengan PKR, menunjukkan betapa pertembungan antara kedua-dua sekutu itu sedang meruncing.

PAS menjadi sekutu PKR sejak PKR ditubuhkan pada 1999 ketika zaman gerakan reformasi bermula.

Selepas ia memutuskan hubungan dengan DAP, ia masih mengekalkan ikatan dengan PKR sebagai sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Tetapi mood dalam kalangan ahli setia PAS ialah PKR terhutang budi dengan tenaga, masa dan wang aktivis PAS, atas kemenangan mereka dalam PRU.

Perwakilan PAS Negeri Sembilan Mohd Husaini Hussain berkata:

“Ada kerusi di mana PKR bertanding sedangkan mereka tidak cukup ahli pun di situ. Mereka datang kepada kami dengan bendera dan kain rentang dan merayu kita tolong gantung,” katanya yang membentangkan usul supaya PAS dan PKR putus.

Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata melihat kepada usul itu diluluskan dengan sebulat suara menunjukkan ahli yang selama ini berganding bahu dengan PKR, cukup yakin untuk bergerak sendirian pada PRU depan.

“Mereka tahu kesan keputusan itu dan sedia menerimanya,” kata Nasruddin ketika ditanya mengenai risiko sebenar PAS mungkin kehilangan kerusi jika bertanding sendirian dan memecahkan undi pembangkang.

“Ia sebenarnya bukan perkara baru bagi PAS. Kami pernah bekerjasama dengan pihak lain sebelum ini dan pernah juga bersendirian,” katanya merujuk kepada PAS pernah menyertai dan meninggalkan BN pada penghujung 1970 dan bagaimana ia berjuang sendirian menentang Umno pada 1980-an.

“Berjuang bertanding sendirian bukan beban bagi PAS.”

Tetapi ia akan menjadi beban untuk Pakatan Harapan. Sudah puas cakap dan buat, PKR atau Parti Pribumi Bersatu masih belum mampu menawan pengundi Melayu seperti apa yang PAS nikmati. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen