ANWAR Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan situasi terkini politik negara, kata setiausaha politik presiden PKR itu, Farhash Wafar Salvador Rizal Mubarak.
Farhash berkata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan turut menghadap baginda pada 2.30 petang ini.
Beliau mengesahkan ia berkaitan dengan usaha digerakkan pemimpin Bersatu, PAS dan Umno yang didakwa mahu membentuk kerajaan baharu.
“Sekarang ini masih tidak ada apa-apa, tidak nampak gerakan yang mereka buat itu berhasil lagi, (hari ini) Anwar akan jumpa dengan Agong, petang jam 2.30,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelasnya, pertemuan tersebut sememangnya sudah dirancang lebih awal dan bukannya disebabkan usaha gabungan baharu Bersatu serta Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan baharu.
“(Pertemuan) itu dah dirancang sebelum ini pun, bukan sebab situasi sekarang,
“Kita masih awal untuk buat spekulasi, tapi Anwar akan jumpa Agong dengan timbalan perdana menteri, sudah tentu akan bincang isu yang berlaku sekarang, saya pasti,” kata Farhash.
Menurutnya, Anwar juga akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan DAP dan Amanah malam ini namun tidak maklum akan lokasi dan masanya.
Beliau berkata gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan baharu itu juga belum berhasil kerana tiada sebarang pengumuman yang dibuat.
“Kalau ada hasil mereka dah umum, ini tak ada apa. (Kerajaan baharu) ini di bawah budi bicara Agong, sama ada pintu belakang atau mandat bersih. Nampak sekarang status quo kekal,” kata Farhash.
Farhash juga tidak dapat menyatakan jumlah sebenar ahli Parlimen yang kini masih bersama PH.
“Kita tak pernah kira, kita tak buat kiraan, saya tak boleh bagi jumlah tepat, tapi kerjasama dengan PKR, Amanah, DAP tak terkesan. Dalam PKR mungkin ada beberapa yang nakal,” katanya.
Katanya, Anwar juga bersikap tenang di sebalik kekecohan mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dalam kerajaan.
Anwar pada malam tadi mengakui mendapat maklumat terdapat pemimpin dalam Bersatu dan PKR berusaha menjatuhkan kerajaan PH dan membentuk gabungan baharu dengan Umno serta Bersatu.
Beliau menyifatkan ahli Parlimen berkenaan sebagai pengkhiamat.
Seramai 131 ahli Parlimen termasuk presiden Bersatu, Umno dan PAS dilapor berkumpul di sebuah hotel bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada malam tadi untuk satu jamuan.
Kalangan pemimpin kanan parti tersebut juga dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam. – 24 Februari, 2020.
Komen