Bela nelayan jangan bermusim, tangkap dalang sindiket


Nabihah Hamid

AHLI Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata kerajaan perlu komited menangani masalah kemasukan nelayan asing dan banteras sindiket nelayan asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 November, 2017.

AHLI Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata kerajaan perlu komited menangani masalah kemasukan nelayan asing dan tidak hanya melakukan pencegahan secara bermusim.

Raja Bahrin berkata beliau bimbang beberapa tangkapan dalang sindiket sebelum ini hanya gimik politik memandangkan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

“Operasi seperti ini tidak boleh berlaku secara bermusim tetapi perlu berterusan dan mengambil kira semua pihak yang terlibat. Kerajaan patut prihatin tentang masalah nelayan dan memastikan operasi ini diteruskan sehinggalah lepas PRU.

“Jangan hanya dilakukan sekarang dan lepas PRU kalau mereka masih berkuasa tidak ada apa-apa tindakan diambil,” katanya pada sidang media di lobi parlimen.

Beliau merujuk laporan Berita Harian mengenai dua anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak direman tujuh hari, kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.

Mereka antara 10 anggota yang ditahan oleh SPRM dari beberapa tempat di Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu, semalam kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.

Raja Bahrin berkata kerajaan juga jangan hanya menangkap dalang kecil dan melepaskan dalang sebenar yang dipercayai daripada golongan VVIP.

“Saya dan nelayan juga percaya mereka tidak bersendirian dan ada lagi pihak yang lebih berkuasa dan pengaruh dan boleh dikatakan VVIP yang terlibat.

“Sindiket ini sudah lama berakar umbi di Malaysia dan ada ‘Godfather’ yang berkedudukan tinggi,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pencerobohan dan rompakan hasil laut mengakibatkan negara rugi sehingga RM6 bilion setahun dan mengarahkan pihak berkuasa menanganinya dengan serius.

“Kita rugi antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara.

“Penguatkuasaan lebih tegas penting bagi memelihara kepentingan nelayan yang memberi sumbangan besar kepada negara dan rakyat dalam membekalkan makanan laut,” katanya dipetik Berita Harian. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen