DALAM tempoh 24 jam lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelihatan cuba untuk merungkaikan keadaan apabila beberapa menteri makan malam bersama ahli Parlimen pembangkang, ketika hebat spekulasi tentang penubuhan pakatan politik yang baharu.
Pemimpin utama daripada Bersatu, kem Azmin Ali dalam PKR, Warisan bertemu dengan musuh mereka daripada Umno, PAS dan gabungan parti Sarawak di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, beberapa jam selepas enam pemimpin daripada parti-parti ini menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam satu pertemuan yang jarang berlaku.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pada makan malam itu membayangkan kerajaan PH umpama sudah mati, berkata mereka menunggu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan isyarat.
Terdahulu, Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu, tetapi tidak bercakap kepada media, menolak spekulasi penubuhan kerajaan baharu hujung minggu ini.
Tetapi bakal penggantinya, Anwar Ibrahim mengesahkan ada pihak dalam partinya dan Bersatu mengkhianati PH untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.
Beliau tidak menamakan mereka tetapi menteri daripada Bersatu seperti Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof dan Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya dilihat masuk ke dewan di mana makan malam itu diadakan.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu turut ada di sana, begitu juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Sembrong Hishamuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
PAS diwakili pemimpinnya Nik Muhammad Zawawi Salleh, Abdul Hadi Awang, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim Tuan Man.
Makan malam mereka diadakan ketika kuat spekulasi mengatakan beliau akan membentuk kerajaan baharu dengan Barisan Nasional, PAS, Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pecahan kecil daripada PKR.

Majoriti mudah
Majoriti mudah sebanyak 112 daripada 222 kerusi Parlimen diperlukan untuk menubuhkan sebuah kerajaan.
Bersatu, parti Dr Mahathir mempunyai 26 kerusi, Umno ada 39 sementara MCA ada dua dan MIC satu.
PAS ada 18 kerusi di Dewan Rakyat sementara gabungan pembangkang Sarawak yang mengawal kerajaan GPS ada 18 kerusi.
Tetapi Anwar, yang kini presiden PKR tidak ada maklumat terperinci tentang sebarang kerajaan baharu selepas enam pemimpin kanan parti itu mengadap Agong semalam.
Anwar dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail diperkenankan untuk mengadap Agong hari ini.
Presiden MIC SA Vigneswaran menafikan sebarang pengetahuan tentang penubuhan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, katanya Azmin akan keluar parti sementara Bersatu juga mungkin akan meninggalkan PH.
“Setahu saya hari ini, Azmin keluar PKR dan juga kemungkinan Bersatu keluar PH.”
Reformasi akan diteruskan
Azmin berkata perjuangan untuk reformasi akan diteruskan.
“Insya Allah kita akan meneruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi dan membangunkan negara dan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas makan malam yang dihadiri ahli Parlimen kedua-dua pihak dalam politik.
Perkumpulan di hotel di Petaling Jaya itu kemuncak kepada beberapa pertemuan antara parti politik yang berlangsung semalam, di mana dikatakan ia sebahagian daripada rancangan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baharu. – 24 Februari, 2020.
Komen