PKR pernah mempersoalkan kekayaan Adam Rosly, malah sebelum beliau diheret pihak berkuasa, kata ketua Pemuda parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Sejak tahun lalu, kami tahu dan prihatin tentang gaya hidupnya yang mewah. Bila ahli parti tanya bagaimana dia dapat kekayaan seperti itu, mereka diberitahu dia mewarisinya dan mempunyai perniagaan perabot yang berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, pergerakan Pemuda sebelum ini pernah meminta supaya ketua Pemuda PKR cawangan Ampang itu digantung tugas hingga semua tuduhan rasuah terhadapnya selesai.
Nazmi berkata mereka tidak nampak sebarang alasan untuk terus mendesak Adam mengenai kekayaannya kerana dia tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan.
“Dia bukan ahli Parlimen atau Adun. Jadi, kami tidak perlu terus menerus menyoal dia,” katanya.
Kecurigaan mereka terhadap kekayaan Adam semakin jelas apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memberi keterangan palsu dan memalsukan dokumen yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dibuat terhadap kekayaannya pada Februari.
Adam pada masa ini dibebaskan dengan ikat jamin RM300,000.
Nazmi berkata Adam sepatutnya memberi penjelasan lebih awal mengenai sumber kekayaannya seperti diminta pemimpin tertinggi parti.
“Situasi sekarang berubah kerana dia sudah didakwa. dia sepatutnya menjawab semua persoalan yang dibangkitkan sebelum ini.
“Namun dia enggan memberi kami sebarang maklumat dan ini mencemar imej Pemuda PKR,” katanya.
Beliau berkata ahli parti yang lain juga tidak takut disiasat.
“Jika ada isu lain, kami akan mengambil tindakan tegas untuk menyelesaikannya. Itu yang membezakan kami dengan Umno,” katanya.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada Selasa berkata Adam perlu “bercuti” daripada tugas parti atau berdepan lembaga disiplin parti.
Katanya, kes Adam dipergunakan untuk mencemar imej PKR dan parti juga patut menjauhkan diri daripadanya.
Kekayaan Adam diperiksa selepas ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos mempertikaikan bagaimana dia mampu memiliki rumah agam seperti istana di Ampang, pada usia semuda itu.
Adam mendakwa dia mampu hidup mewah kerana memperoleh kekayaan menerusi perniagaan dan diwarisi daripada keluarganya. – 28 April, 2017.
Komen