PERJUANGAN untuk melakukan pembaharuan akan diteruskan, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika spekulasi mengatakan kem yang menyokongnya akan keluar parti.
“InsyaAllah kita akan meneruskan perjuangan dan agenda reformasi dan membangunkan negara serta membawa kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya ringkas kepada media selepas majlis makan malam yang dihadiri ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang malam ini.
Pertemuan luar biasa di Hotel Sheraton, Petaling Jaya itu mencetuskan spekulasi bahawa wujud pakatan dalam kalangan parti politik untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR lain termasuk Saifuddin Abdullah, Zuraida Kamaruddin dan Rashid Hasnon.
Zuraida dan Saifuddin bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung pertemuan itu.
Azmin dalam pada itu tidak menjawab persoalan tentang kemungkinan pembubaran Pakatan Harapan (PH) selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa segelintir pemimpin parti itu dan Bersatu mengkhianati PH.
Awal hari ini, kem Azmin mengadakan majlis makan malam di hotel itu ketika khabar angin mengatakan akan berlakunya pembentukan gabungan politik dan kerajaan baharu.
Antara ahli Parlimen PKR yang dilihat hadir pada majlis itu termasuk Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin, Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.
Menteri Kabinet dan pemimpin Bersatu yang hadir termasuk Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pembangunan Perusahaan Mohd Redzuan Yusof dan Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.
Pemimpin Umno dan PAS turut hadir pada majlis itu.– 23 Februari, 2020.
Komen