Pengkhianat PKR, Bersatu mahu jatuhkan Pakatan, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim berucap kepada penyokongnya selepas mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di kediamannya malam ini. – Gambar ihsan Pejabat Anwar Ibrahim, 23 Februari, 2020.

ANWAR Ibrahim mendakwa Bersatu dan beberapa ahli PKR tekah mengkhianati Pakatan Harapan dan sedang  berusaha untuk menggantikan kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai hal itu selepas enam pemimpin parti politik mengadap Yang D-Pertuan Agong petang tadi.

“Sekarang ini kita tunggu dulu maklumat. Tetapi kita tahu ada percubaan untuk jatuhkan PH untuk tubuh kerajaan baru, dan melibatkan bekas rakan-rakan kita dalam Bersatu dan segelintir yang khianat daripada PKR. 

“Kita tunggu dulu, mereka ada mengadap Yang Di-Pertuan Agong petang tadi..belum ada pengumuman,” katanya pada penghujung kuliah agama di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, ketika membuka majlis Anwar berkata majlis zikir dan kuliah agama mingguan itu diteruskan walaupun ada perkembangan politik yang sedang berlaku, merujuk pada mesyuarat tergempar beberapa parti politik yang berlangsung sejak pagi.

“Kita dikejutkan pada hari ini (Ahad) dengan perkembangan… bagi kita juga satu pengkhianatan, kerana sudah janji dan sebagainya.

“Maka menyebabkan ada perubahan dan saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat… mungkin esok walaupun tidak ada pengumuman malam ini.

“Tetapi dari segi maklumat yang saya terima, memang ada usaha demikian,” katanya.

Kuliah yang disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor disiarkan secara langsung di Facebook.

Anwar Ibrahim juga dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok di Istana Negara.

Spekulasi itu timbul ekoran beberapa mesyuarat berasingan yang dilangsung hari ini membabitkan beberapa parti kerajaan dan pembangkang.

Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi di Petaling Jaya, tidak jauh dari lokasi mesyuarat Azmin Ali bersama pemimpin PKR yang setia dengan timbalan presiden parti itu.

Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan mesyuarat berasingan di ibu pejabat parti itu dan Gabungan Parti Sarawak pula mengadakan pertemuan bersama ahli Parlimen parti itu di KL.

Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan berada di Istana Negara petang ini, didakwa bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia dinafikan Pejabat Perdana Menteri yang turut menyatakan Dr Mahathir berada di rumah dan tidak akan membuat sidang media di Petaling Jaya seperti didakwa.

Turut dilaporkan hadir ke Istana Negara adalah pemimpin beberapa parti.

Azmin kemudiannya malam bertemu pemimpin parti PAS, Umno, Bersatu dan penyokongnya di Hotel Sheraton pada malam ini.

Setiausaha agung Umno Annuar Musa sewaktu ditemui di majlis itu mengakui terdapat kemungkinan untuk membuat kerjasama baharu dengan Bersatu dan PAS.– 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen