RATUSAN penyokong Anwar Ibrahim mula membanjiri kediamannya di Segambut malam ini, bagi menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu.
Mereka bersama-sama Anwar mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat, selepas menunaikan solat Maghrib di kediamannya.
Majlis itu disertai Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyampaikan kuliah agama selepas solat Maghrib.
Anwar yang menyampaikan kupasannya atas kuliah itu kemudian membuka soalan kepada hadirin tetapi meminta soalan ditujukan kepada mufti dan bukan kepadanya.
“(Kalau) kepada saya, saya tahulah (hendak tanya) pasal kerajaan baru ini. Tidak, saya tak dapat maklumat penuh,” katanya, dalam rakaman majlis yang disiarkan langsung melalui Facebook.
Kehadiran penyokong Anwar ke kediamannya itu rentetan laporan mendakwa akan berlaku pertukaran kerajaan hari ini.

Sejak malam tadi, muncul desas desus Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan pengikutnya keluar PKR.
Perkembangan hari ini menyusul selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari lalu yang membincangkan tempoh peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.
Selepas mesyuarat lebih kurang tiga jam itu, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH menyerahkan kepada beliau untuk menentukan bila peralihan itu akan berlaku.
Para pemimpin utama beberapa parti politik juga dilaporkan hadir ke Istana Negara petang tadi sewaktu spekulasi memuncak bahawa Dr Mahathir akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Satu sumber Umno berkata, antara yang hadir adalah presidennya Zahid Hamidi yang bergegas ke Istana Negara sekitar jam 6 petang sebaik selepas bermesyuarat dengan pemimpin partinya.
Bersatu dan pemimpin PKR pro Azmin turut mengadakan pertemuan awal hari ini. – 23 Februari, 2020.
Komen