Pemimpin pembangkang, kerajaan muncul di tempat mesyuarat puak Azmin


Diyana Ibrahim

Dua ahli Parlimen Umno Tengku Adnan Mansor dan Ismail Sabri Yaakob antara yang mula hadir di hotel tersebut sejak jam 7 petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Februari, 2020.

BEBERAPA ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan muncul di sebuah hotel di Petaling Jaya yang menjadi lokasi mesyuarat Azmin Ali dan pengikut timbalan presiden PKR itu hari ini.

Dua ahli Parlimen Umno Tengku Adnan Mansor dan Ismail Sabri Yaakob antara yang mula hadir di hotel tersebut sejak jam 7 petang ini.

Bagaimanapun pemimpin enggan menjelaskan sekiranya kemunculan itu ada kaitan dengan mesyuarat Azmin bersama kalangan ahli Parlimen PKR di hotel tersebut.

“Saya datang untuk minum kopi saja,” kata Tengku Adnan apabila ditanya.

Naib presiden Umno Ismail Sabri juga ketika ditanya enggan mengulas lanjut mengenai kemunculannya.

“Tidak ada apa yang nak diulas. Saya tak tahu apa-apa, “ katanya.

Turut hadir ahli Parlimen Bersatu Mustapa Mohamed yang juga bekas pemimpin dan wakil rakyat parti itu.

Beliau diikuti setiausaha agung Umno Annuar Mussa yang ditemani rakan sejawat dari PAS, Takiyuddin Hassan.

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga berada di hotel tersebut bersama presidennya Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilihat bersama beberapa pimimpin utama PH di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, lokasi pertemuan beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika spekulasi pembentukan kerajaan baharu sedang digerakkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Februari, 2020.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula tiba di hotel sama pada kira-kira jam 8.35 pm.

Tiga lagi pemimpin Bersatu yang turut dilihat adalah menteri besar parti itu, Ahmad Faizal Azumu serta dua menteri Kabinet, Redzuan Md Yusof dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Para pemimpin berkenaan muncul di tengah spekulasi yang mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melibatkan parti pembangkang.

Ia susulan beberapa mesyuarat berasingan yang dilangsung hari ini membabitkan beberapa parti kerajaan dan pembangkang.

Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi di Petaling Jaya, tidak jauh dari hotel tersebut.

Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan mesyuarat berasingan di ibu pejabat parti itu dan Gabungan Parti Sarawak pula mengadakan pertemuan bersama ahli Parlimen parti itu di KL.

Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan berada di Istana Negara petang ini, didakwa bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Pejabat Perdana Menteri yang turut menyebut, Dr Mahathir tidak akan membuat sebarang sidang media di Petaling Jaya pada malam ini seperti didakwa. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen