Ucapan 'Kepala Bapak Kau' simptom sakit mental


Nabihah Hamid

Ucapan “Kepala Bapak Kau” yang disebut oleh Perdana Menteri Najib Razak itu satu simptom penyakit mental, kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin.

Beliau berkata demikian ketika memberi soalan tambahan kepada Kementerian Kesihatan berkaitan jumlah peruntukan kerajaan untuk menangani masalah mental yang dilaporkan membimbangkan dikalangan rakyat Malaysia. 

“Jadi faktor kesedihan dan kemurungan adalah satu sakit mental yang harus ditangani. Faktor kemurungan ini termasuklah mereka yang memberikan ucapan-ucapan ganas seperti mengucapkan ‘Kepala Bapak Kau,’ ini juga satu simptom sakit mental ya,” kata Zuraida. 

Pertanyaan itu menimbulkan rasa tidak senang Ahli Parlimen Pendang Othman Abdul yang kemudiannya mencelah:

“Apa ni? Tanya soalanlah. Ampang la sakit otak. Ampang yang cakap, kita tak cakap pun,” katanya dalam dewan. 

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam membalas dengan menyindir soalan Zuraida itu berbaur politik. 

“Salah satu punca stress (tekanan) ialah bila soalan kesihatan dijadikan soalan politik. Sebagai rakyat yang sedar tentang keperluan mengurangkan stress, kita kena tahu dulu (dan) faham soalan apa yang boleh ditanya, apa yang tak boleh ditanya,” katanya. 

“Kepala Bapak Kau” mula menjadi fenomena apabila Najib menggunakan ayat itu untuk menjawab kritikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ucapan Najib itu terpacul ketika mengulas hasrat Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir yang mahu mengkaji semula semua perjanjian dan projek antara Malaysia dengan China, sekiranya PH menang pilihan raya umum akan datang.

“Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan. Apa? Kepala bapak kau! Tak logik,” katanya dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan yang memenuhi dewan persidangan di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.

Zuraida sebelum itu mahu mengetahui rancangan kementerian kesihatan untuk mengatasi masalah kesihatan mental di Malaysia. 

Dr S.Subramaniam menjelaskan pelbagai usaha sedang dan telah dijalankan, antaranya membuat program Kesihatan Mental Komuniti meliputi aktiviti saringan mengesan awal tahap stres.

“Bagi mempertingkatkan kemahiran menangani stres di kalangan komuniti, usaha-usaha mempromosikan kesihatan mental dan mencegah penyakit mental dilaksanakan melalui latihan kemahiran daya tindak dan aktiviti pemerkasaan komuniti dimana elemen menangani stres dimasukkan sebagai salah satu komponen dalam KOSPEN,” katanya membalas Zuraida.

Dr S.Subramaniam turut mendedahkan Program Minda Sihat kalangan murid tingkatan empat di 2343 buah sekolah menengah seluruh negara. 

“Program DASS (Depression Anxiety Stress Scale) untuk mengetahui status kesihatan murid sekolah menengah bagi mengenalpasti tahap stres, keresahan dan kemurungan. Jika didapati tahap stres, keresahan dan kemurungan adalah berlebihan, murid berkenaan akan dirujuk untuk perkhidmatan kaunseling atau ke klinik kesihatan untuk rawatan lanjut pakar kesihatan keluarga atau pegawai perubatan,” katanya lagi. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen