DUA pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak spekulasi kononnya gabungan mereka mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur untuk membincangkan situasi tidak menentu Kerajaan Persekutuan.
Mereka mengambil pendirian untuk tidak menghangatkan lagi khabar angin bahawa kerajaan baharu akan dibentuk dan GPS mempunyai kaitan dengan agenda tersebut.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol memberitahu The Malaysian Insight bahawa pertemuan yang diadakan merupakan mesyuarat biasa antara ketua menteri (Abang Johari Openg) dan semua Ahli Parlimen GPS sebelum bersidang di Parlimen.
Parlimen akan mula bersidang selama sebulan pada 9 Mac depan.
“GPS sudah menyatakan pendirian,” kata Abdullah yang sering menjadi jurucakap untuk kerajaan negeri Sarawak.
Beliau merujuk kenyataan Abang Johari selepas Majlis Tertinggi GPS mengadakan mesyuarat di Kuching pada 6 Februari lalu bahawa GPS tidak akan bersekutu dengan mana-mana gabungan politik yang didakwa akan dibentuk.
Abang Johari ketika itu mengulas mengenai dakwaan bahawa 16 ahli Parlimen GPS menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang didakwa akan membentuk gabungan politik baharu dikenali sebagai Pakatan Nasional.
Dua lagi ahli Parlimen GPS didakwa menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Beliau berkata GPS bergerak bebas dan sebarang masalah yang dihadapi oleh parti politik di semenanjung adalah masalah mereka sendiri.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata adalah tidak bagus jika membuat sebarang jangkaan ketika pelbagai teori dan khabar angin tentang kemungkinan berlakunya perubahan politik.
Masing yang merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata perkara terbaik buat Sarawak ketika ini adalah meneruskan pentadbiran di bawah GPS dan memantau sebarang perubahan politik yang akan berlaku.
“Kemudian kita akan membuat keputusan mengikut suasana semasa,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 23 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen