Pemimpin Bersatu kunci mulut


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu mesyuarat yang tamat sekitar pukul 3 petang itu hanya membincangkan hala tuju parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Februari, 2020.

PEMIMPIN-pemimpin Bersatu termasuk pengerusinya Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan butiran mesyuarat parti yang berlangsung hampir enam jam bermula 9.30 pagi tadi.

Masing-masing mengunci mulut ketika ditanya mengenai isu dibincangkan dalam mesyuarat di ibu pejabat parti yang menjadi antara tumpuan utama media hari ini.

Hanya seorang daripadanya, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu mesyuarat yang tamat sekitar pukul 3 petang itu hanya membincangkan hala tuju parti.

“Mesyuarat bincang urusan hala tuju parti,” katanya ringkas kepada pemberita.

Antara pimpinan tertinggi Bersatu yang disaksikan hadir ke ibu pejabat parti untuk menyertai mesyuarat itu adalah presidennya Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung Marzuki Yahya.

Turut hadir Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Wanita Rina Harun dan dua menteri besar parti itu, Ahmad Faizal Azumu dan Mukhriz Mahathir.

Mesyuarat hari ini rentetan daripada pertemuan Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu yang memutuskan
berkata peralihan kuasa akan dilakukan selepas Sidang Kemuncak Apec.

Bagaimanapun, majlis presiden memutuskan tiada tarikh ditetapkan untuk beliau menyerahkan jawatan nombor satu negara kepada penggantinya.

Pada masa sama hari ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pemimpin dalam pasukan sama bertemu di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

PAS dan Umno turut bermesyuarat hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, dipercayai berhubung perkara sama yang diputuskan Majlis Presiden PH. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen