KERJA menangkap ikan bagi nelayan di utara Pulau Pinang terhenti seketika apabila bot musnah akibat banjir dan ribut baru-baru ini, tetapi bagi rakan nelayan di pantai barat daya negeri itu mungkin hilang terus sumber pendapatan jika projek penambakan laut di situ diteruskan.
Nelayan di situ bimbang mata pencarian mereka akan hilang selamanya, sementara kerajaan negeri masih menunggu laporan terperinci Penilaian Kesan Alam Sekitar (DEIA) berkenaan projek penambakan mega yang akan menyebabkan kawasan terbaik untuk menangkap ikan di negeri itu, musnah.
Kebimbangan kira-kira 1,500 nelayan itu dibangkitkan sekali lagi semalam apabila sidang dewan undangan negeri (DUN) dimaklumkan DEIA mengenai projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) masih menunggu kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) persekutuan selepas ia dikemukakan pada April tahun ini.
“Rakan pelaksana projek itu SRS Consortium sudah melengkapkan DEIA berkenaan dan menghantarnya pada JAS. SRS ditugaskan mendapatkan kelulusan untuk projek itu daripada kerajaan persekutuan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Trafik Pulau Pinang Chow Kon Yeow di dewan.
“Projek penambakan itu masih belum dimulakan secara fizikal. Ia masih menunggu kelulusan untuk bermula,” katanya menjawab soalan Mohd Zain Ahmad (BN-Penaga) berkenaan status projek berkenaan.
Tetapi selagi projek pembinaan tiga pulau buatan manusia seluas 1,821 hektar itu tidak diarahkan berhenti secara jelas, nelayan di Balik Pulau tidak akan tenang.
Tiga pulau yang dicadangkan itu ialah Pulau A seluas 930 hektar dan Pulau B di Permatang Damar Laut dan Sungai Batu (445 hektar) dan Pulau C di Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul (323 hektar).
Ia akan dilelong oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membiayai projek mega Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM27 bilion – satu pelan komprehensif untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dengan pembinaan LRT, monorel dan perkhidmatan bas, jalan serta lebuh raya.

Projek besar-besaran itu, sejak diumumkan dua tahun lalu, mencetuskan kebimbangan nelayan, persatuan sivil negeri dan kumpulan alam sekitar, sehingga menyebabkan beberapa bantahan berulang diadakan.
Pada Ogos tahun ini, Perdana Menteri Najib Razak turut menyentuh mengenai projek itu, berkata kerajaan persekutuan tidak dapat menyokong pembangunan yang akan memusnahkan alam sekitar dan kehidupan ribuan nelayan.
Membantah projek penambakan itu, yang dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan, bermakna menafikan projek PTMP di negeri kawalan pembangkang itu.
Ketika BN mentadbir negeri itu sebelum 2008, mereka juga sebenarnya meluluskan projek penambakan laut di Tanjung Tokong dan Jelutong.
Kemusnahan kekal
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan Arshad Omar memberitahu The Malaysian Insight nelayan masih membantah projek penambakan itu.
Persatuannya mewakili 1,500 nelayan dari daerah barat daya Pulau Pinang, termasuk di Balik Pulau.
Penjelasan panjang lebar mengenai projek itu dalam dialog kerajaan negeri Disember lalu – bagaimana ia akan memberi manfaat kepada negeri, kesan alam sekitar dan jaminan nelayan masih dapat menangkap ikan di pantai selatan – gagal meyakinkan mereka.
“Alasan bantahan kami masih kekal sama,” kata Arshad kepada The Malaysian Insight dalam satu temu di telefon baru-baru ini.
“Pantai selatan tempat terbaik untuk menangkap ikan di Pulau Pinang. Penambakan itu akan menjejaskan tempat itu dan membunuh periuk nasi kami.”
Arshad berkata nelayan mahu memelihara kawasan menangkap ikan terbaik di Pulau Pinang kerana di situ paling banyak hasil ikan dan udang kerana keadaan permukaan tanah lautnya yang cantik, tenang dan tidak berombak.
“Ini tempat terbaik, di mana kami boleh dapat banyak bawal putih, bawal tambak, senangin dan ikan kembung.
“Kami sudah nampak kesan negatif akibat penambakan di bahagian utara pulau,” katanya merujuk kepada projek di Tanjung Tokong dan Jelutong yang diluluskan pada zaman pentadbiran BN.
Sejak beberapa tahun terakhir ini, kumpulan aktivis alam sekitar menyalahkan projek penambakan Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) seluas 97 hektar di Tanjung Tokong kerana menyebabkan pemendapan di pesisiran Persiaran Gurney dan menjejaskan hasil tangkapan harian nelayan.
Nelayan berkata mereka akan berdepan masalah, walaupun laporan awal kesan alam sekitar projek itu menyatakan penambakan itu tidak akan membawa impak sedemikian.
Kebimbangan sama turut dibangkitkan berhubung projek penambakan STP2 seluas 307 hektar di depan Persiaran Gurney, projek lebih kecil berbanding PSR, yang sedang dijalankan.
Kerajaan negeri tiada respons
Arshad berkata Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) sudah menghantar dua memorandum bantahan mereka terhadap PSR tahun lalu dan tahun ini kepada kerajaan negeri.
Pada awal tahun, mereka juga menghantar wakil untuk berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Dr Afif Bahardin mengenai projek penambakan itu dan masalah lain dihadapi nelayan.
“Tetapi kami belum terima maklum balas pun. Kami tidak ada lagi memorandum hendak dihantar ke kerajaan negeri.
“Kami sudah bawa kebimbangan kami kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Kami pergi ke kementerian itu, sebelum Najib lawat Balik Pulau pun (pada Ogos),” katanya.
Pada Julai, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Jaafar dalam satu kenyataan berkata beliau bertemu nelayan dan mengarahkan jabatan berkaitan termasuk JAS, Perparitan dan Saliran, Institut Penyelidikan Hidraulik Malaysia dan Taman Marin mengkaji aduan nelayan.
Dua hari selepas Najib berkata kerajaan persekutuan tidak akan meluluskan projek tambakan itu, Junaid berkata Pejabat Tanah dan Gajian akan menahan geran tanah untuk menghentikan pembangunan itu jika Pulau Pinang mahu meneruskannya juga.
Arshad berkata nelayan menunggu kementerian persekutuan menilai projek PSR.
“Kementerian perlu kaji laporan konsultan untuk justifikasi keputusannya sama ada membenarkan atau tidak projek itu,” katanya.
Selain laporan konsultan mengenai kesan alam sekitar, terdapat satu lagi laporan daripada Universiti Sains Malaysia yang perlu dikaji oleh kementerian.
Ini bukan politik
Arshad berkata nelayan sedar segala-galanya nampak “politik” pada masa ini dengan kerajaan persekutuan BN mencari jalan menghalang projek itu, maka menghalang kerajaan negeri pimpinan DAP meneruskan projek PSR dan PTMP.
Dengan Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir, projek itu dilihat akan menjadi bahan politik untuk kedua-dua belah.
Arshad berkata nelayan tidak berniat menjadikan ia isu politik kerana tahu BN juga sebelum ini pernah meluluskan projek serupa seperti STP1 dan 2 di utara negeri itu.
“Nelayan di bahagian utara kebanyakan hanya kerja separuh masa. Mereka di Tanjung Tokong, Tanjung Bungah dan Batu Feringghi terbabit dalam kerja pelancongan. Nelayan di Jelutong juga ada kerja lain.
“Hanya 30% nelayan di situ kerja sepenuh masa tangkap ikan. Tetapi bagi kami di selatan, dari Bayan Lepas ke Balik Pulau, ini sajalah kerja kami.
“Kalau kami gagal lindungi pantai di sini, periuk nasi kami hilang selamanya. Itu sebabnya mengapa kami cuba lindungi kawasan di sini,” katanya.
Nelayan sebelum ini memberi amaran yang warga Pulau Pinang akan kehilangan sumber makanan laut dan berdepan risiko membayar mahal untuk makanan itu jika projek penambakan itu diteruskan. – 9 November, 2017.
Komen