HUTAN Simpan Kekal Kuala Langat Utara dianggap sebagai kawasan sensitif alam sekitar, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Struktur Selangor 2035 (SSP2035) yang sepatutnya menjadi panduan semua pembangunan di negeri itu.
Status khas hutan simpan kekal (HSK) diperkukuhkan lagi dalam pelan tempatan Kuala Langat 2018 (RT2018) yang memperincikan cadangan penggunaan tanah di peringkat daerah.
Kedua-dua dokumen itu mengesyorkan agar hutan itu dipelihara kerana ia merupakan kawasan tadahan air penting bagi selatan Selangor dan berperanan mengatasi isu pemanasan global.
Kumpulan awam kini mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) melanggar dokumen yang mereka wujudkan sendiri dengan membenarkan hutan itu ditebang bagi tujuan pembangunan.
Ini susulan pengumuman Menteri Besar Selangor bahawa kawasan seluas 930 hektar hutan itu akan dimansuhkan status HSK sebelum dibuka untuk pembalakan, pembersihan dan pembangunan.
Wakil kumpulan alam sekitar TrEES Lee Panikar berkata beberapa pertubuhan aktivis tampil memberi sebab hutan itu perlu dilindungi semasa fasa pendengaran awam untuk RT2018.
TrEES terlibat dalam pelbagai pendengaran awam berhubung alam sekitar dan mengetuai bantahan projek Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) yang akan memusnahkan hutan Ampang.

“Rundingan awam sudah selesai dan RT2018 mengklasifikasikan hutan tersebut sebagai kawasan sensitif alam sekitar,” kata Leela kepada The Malaysian Insight.
“Jadi kenapa perlu adakan pendengaran awam untuk RT2018 jika kini mahu melakukan perkara berbeza dengan memberi alasan bahawa hutan itu perlu dibangunkan bagi mengelakkan kebakaran hutan?”
Pada 21 Februari lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata 40% hutan itu sudah merosot dan tidak lagi mempunyai ciri-ciri sebagai hutan simpan.
Beliau berkata ekoran sering berlaku kebakaran hutan di sana, kerajaan negeri mahu memansuhkan status HSK sekali gus membenarkan pembangunan di kawasan itu.
SSP2035 menyenaraikan hutan Kuala Langat Utara dan Kuala Langat Selatan sebagai hutan paya gambut yang menyimpan dan menyalurkan air ke kawasan lain.
Dokumen SSP2035 itu menyatakan kawasan itu diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan perlu dipelihara berdasarkan kepentingannya. – 23 Februari, 2020.
Komen