KERAJAAN Selangor hanya akan mendengar suara penduduk tempatan yang tinggal di kawasan sekitar Hutan Simpan Kuala Langat Utara walaupun mengadakan pendengaran awam.
Namun ia tidak akan menghentikan usaha gabungan kumpulan alam sekitar dan masyarakat orang Asli yang tinggal di kawasan itu, untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya tidak memansuhkan status hutan kekal itu.
Langkah memansuhkan status itu merupakan langkah awal untuk membuang status perlindungan hutan dan akan membenarkan aktiviti eksploitasi kawasan tersebut.
Dalam kes ini, kerajaan mahu membenarkan pembangunan dilaksanakan di kawasan seluas 931 hektar hutan paya gambut yang penting sebagai kawasan tadahan air.
Menurut kumpulan pencinta alam sekitar TrEES, setakat ini, lebih 16,000 tandatangan dikumpul menerusi satu petisyen dalam talian sejak tiga hari lalu bagi membantah tindakan kerajaan negeri.
Malah, lebih 1,000 penduduk menghantar surat kepada pengarah Jabatan Perhutanan sejak kerajaan mengakui menerima bantahan awam berhubung isu itu.
Pada 5 Februari, Jabatan Perhutanan Selangar menyiarkan satu notis dalam sebuah akhbar untuk menjemput pihak berkepentingan di daerah Kuala Langat bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap usul itu dalam tempoh 30 hari.
Mengikut undang-undang negeri, pendapat awam perlu didengar sebelum langkah memansuhkan status hutan simpan diteruskan.
Selangor menjadi negeri pertama mengadakan pendengaran awam sebelum langkah memansuhkan status hutan simpan dibuat selepas pentadbiran Pakatan Rakyat meminda undang-undang negeri pada 2010.
Walaupun kerajaan negeri perlu mengadakan pendengaran awam untuk semua pihak berkepentingan, wakil TrEES Lee Panikkar berkata kerajaan negeri boleh memilih untuk hanya mendengar suara penduduk Kuala Langat.
Katanya daerah itu mempunyai 300,000 penduduk dan jumlah itu hanya 9% kawasan keseluruhan atau 7,467 hektar yang diliputi hutan.
“Kita meminta penduduk Kuala Langat untuk menghantar sura bantahan kepada jabatan perhutanan negeri bagi membantah langkah memansuhkan status hutan simpan itu,” kata Pengarah TrEES Leela.
“Hutan Kuala Langat Utara merupakan kawasan tadahan air untuk lembangan sungai Langat dan sungai Klang. Ia juga penting untuk mengatasi masalah banjir,” kata Leela kepada The Malaysian Insight.
“Jika kawasan itu ditebang, apa akan berlaku kepada Langat? Hutan itu juga berfungsi untuk menstabilkan iklim tempatan di kawasan berhampiran seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Sepang.
“Kawasan Putrajaya dan Cyberjaya akan terjejas jika kawasan hutan itu ditebang.” – 23 Februari, 2020.
Komen