Hormati keputusan Majlis Presiden Pakatan, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta ahli dan kepimpinan parti menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam isu peralihan kuasa perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Februari, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menggesa ahli dan pimpinan partinya supaya menerima dan menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam tadi, berhubung isu peralihan kuasa perdana menteri.

Pada masa sama beliau menggesa semua pihak tidak mempersoalkan keputusan itu, ketika kumpulan pendukung reformasi sejak 1998 mengancam mengadakan tunjuk perasaan di jalanan.

Kata Anwar, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat malam tadi adalah konsensus bersama, yang juga beliau dan parti persetujui.

“Yang kita capai semalam adalah konsensus termasuk keputusan saya dan PKR. PKR secara keseluruhan harus hormat keputusan tersebut,” katanya pada sidang media di Bangi, hari ini.

Anwar sebelum itu berucap pada majlis Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), badan yang pernah beliau terajui suatu masa dulu.

Jelas Anwar, sebagai presiden parti, beliau boleh mengarahkan ahli dan pimpinan PKR supaya tidak mempersoalkan keputusan mesyuarat semalam.

Namun Anwar berkata, tindakan pihak lain di luar parti adalah di luar kuasanya tetapi beliau boleh menggesa mereka untuk tidak berbuat demikian.

“Saya merayu dan gesa kawan-kawan hormati keputusan ini. Kalau pimpinan PKR saya tak benarkan kecaman terhadap keputusan ini, yang lain (parti lain) di luar keupayaan saya,” katanya, lagi.

Awal hari ini, kumpulan Otai Reformasi menegaskan tidak berganjak dengan pendirian bahawa peralihan kuasa perdana menteri mesti berlaku pada Mei ini.

Setiausahanya Abdul Razak Ismail berkata susulan keputusan mesyuarat malam tadi pihaknya tetap dengan rancangan mengatur protes jalan raya bagi mendesak Dr Mahathir berundur.

Jelas Anwar keputusan Majlis Presiden PH malam tadi supaya Dr Mahathir menetapkan sendiri persaraannya adalah bagi memboleh kerajaan memberi fokus kepada agenda lain.

“Tumpuan kita tentang ekonomi yang terkesan dengan korona virus (Covid-19), itu sebab kita ambil keputusan itu,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi hangat tetapi ia lumrah, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Februari, 2020.

Selepas mesyuarat hampir tiga jam malam tadi, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan tentang tempoh masa beliau terus menjadi perdana menteri.

Katanya, walaupun majlis bersetuju yang beliau akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada November depan, tiada tempoh masa ditetapkan.

Susulan itu, Anwar dalam reaksinya berkata akan terus bersabar sebelum berlaku peralihan kuasa.

“Pendirian kita jelas. Tidak ada keraguan untuk memastikan Tun Mahathir selaku perdana menteri dapat menjalankan tugas dengan tumpuan yang penuh… itu kita tidak persoal.

“Saya sendiri cadang supaya Tun Mahathir diberikan ruang untuk mentadbir kemudian apabila dia tetapkan masa yang sesuai, barulah (peralihan kuasa berlaku).

“Jadi sementara itu, saya kena sabar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat malam tadi.

Sementara itu, Anwar mengakui mesyuarat itu berlangsung dalam suasana hangat, namun baginya ia lumrah.

“Mesyuarat kalau demokratik tegang sikit tapi tak jadi isu…tidak ada orang pertikai transisi, Dr Mahathir perdana menteri ke-7, Anwar perdana menteri ke-8, waktu itu serah kepada Dr Mahathir.

“Tegang dalam mesyuarat itu biasa. Kalau nak pastikan mesyuarat jangan panas susah lah. Kita tidak ada syarat. Syarat kebebasan bersuara,” kata Anwar, lagi. – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen