Malaysia belum batal sekatan pelancong dari daerah tertentu China, kata PM


Chan Kok Leong

Kita masih belum memutuskan dan masih memerhati situasi sebelum memutuskan tentang ketibaan pelancong China ke Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Februari, 2020.

MALAYSIA belum bersedia menilai semula pendiriannya tentang membenarkan ketibaan pelancong China walaupun wujud bukti berlaku penurunan kes Covid-19 di sana, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kita masih belum memutuskan dan masih memerhati situasi sebelum memutuskan tentang ketibaan pelancong China ke Malaysia.

“Kerana itu keputusan belum jelas (belum dibuat). Ada yang kata kita berjaya uruskan tetapi ada juga yang merasakan kita tak menurunkan kejadian (jangkitan).

“Sekarang Korea Selatan pun terjejas,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya malam tadi.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada Malaysia akan membatalkan sekatan sementara yang dikenakan ke atas pelancong dari beberapa daerah di China yang terjejas teruk kerana wabak itu.

Setakat ini, Malaysia mengenakan sekatan perjalanan ke atas warga China dari Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

Wuhan yang merupakan pusat meledaknya wabak Covid-19 terletak di daerah Hubei.

Penerbangan keluar masuk Wuhan juga dibatalkan buat sementara waktu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia tidak ada keperluan untuk mengenakan sekatan penuh kepada semua pelancong dari China.

Setakat semalam, Malaysia mempunyai 22 kes sah dengan 17 daripadanya sudah pulih. Kebanyakan kes adalah pelancong warga China. – 22 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen