MESYUARAT Majlis Presiden Pakatan Harapan menetapkan peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.
Mesyuarat bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tarikh peralihan, kata Dr Mahathir.
Katanya, parti menyerahkan kepada beliau sendiri untuk menentukan bila beliau akan letak jawatan perdana menteri.
“Ada dua pendapat pada malam ini tetapi akhirnya, dan ini saya berasa bangga, semuanya diserah kepada saya.
“Apa yang saya kata mereka akan turut, dan saya telah kata bahawa peralihan akan berlaku selepas Apec.
“Tiada masa ditetapkan, tiada tarikh, tiada apa-apa… hanya (ditetapkan) selepas Apec.
“Terpulang kepada saya, sama ada saya hendak lepas (jawatan perdana menteri) atau tak lepas. Itulah kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu di Putrajaya malam ini.
Mesyuarat berlangsung hampir tiga jam, berakhir menjelang tengah malam tadi.
Menurut Dr Mahathir, keputusan mesyuarat malam tadi sebulat suara.
“Ya, sebulat suara,” katanya, menjawab pertanyaan wartawan.
“Sebulat suara daripada kedua-dua belah pihak… pembangkang dan kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata mesyuarat tidak membincangkan mengenai rombakan Kabinet dan perkara-perkara lain.
“Kita cuma hendak tentukan masa (peralihan kuasa) dan masa itu terpulang kepada saya,” katanya.
Selain peralihan kuasa perdana menteri, mesyuarat malam tadi juga membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Sarawak terutamanya soal penentuan calon supaya tidak bertembung antara parti komponen.
Dr Mahathir juga berkata PH akan mengadakan konvensyen parti, yang tarikhnya belum ditetapkan lagi.
Sebelum mesyuarat, wujud spekulasi hangat bilakah Dr Mahathir akan meletak jawatan atau sama ada Majlis Presiden akan mencapai kata sepakat mengenai isu itu.
Penyokong Anwar sebelum ini mahukan peralihan kuasa berlaku pada Mei, menjelang ulang tahun kedua PH mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Tetapi, Dr Mahathir bertegas sejak November lalu yang beliau hanya akan meletak jawatan selepas Apec yang dijadualkan berlangsung pada November depan. – 21 Februari, 2020.
Komen