DBKL perlu lebih ‘ikhlas’ sebar maklumat pelan struktur, kata persatuan penduduk


Noel Achariam

Penduduk Kuala Lumpur berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai hala tuju pembangunan ibu kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

CARA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapatkan maklum balas awam terhadap Pelan Struktur KL 2040 (KLSP2040) kurang telus dan tidak mempunyai pendekatan awam yang bermakna, kata persatuan penduduk, Selamatkan Kuala Lumpur (SKL).

Kumpulan penduduk Kuala Lumpur yang mendesak pertumbuhan dan pembangunan lestari itu juga mempersoalkan keikhlasan DBKL dalam menjemput orang awam bagi mengulas pelan itu sedangkan majoriti rakyat tidak memahami aspek teknikal laporan.

“Mereka (DBKL) sepatutnya mengadakan sesi ‘town hall’ dan taklimat pelan struktur itu kerana ramai yang masih tidak sedar mengenainya.

“Daripada buat kenduri rakyat, mereka patut beri tumpuan kepada program hubungan dengan rakyat,” kata Timbalan Pengerusi SKL Mumtaz Ali kepada The Malaysian Insight.

Kementerian Wilayah Persekutuan sudah meminta orang awam menyumbangkan idea dan maklum balas terhadap pelan struktur itu.

Pelan yang dilancarkan pada Selasa itu meliputi visi, objektif dan hala tuju strategik untuk memandu pembangunan di Kuala Lumpur bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata orang awam boleh melihat pelan itu bermula 18 Februari sehingga 18 Mac di Menara DBKL 1.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad diminta menganjurkan program taklimat yang boleh menyebarkan maklumat lebih bermakna kepada penduduk Kuala Lumpur tentang hala tuju ibu kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

Tetapi, Mumtaz berkata menjangkakan orang awam akan dapat memahami dokumen teknikal tanpa taklimat adalah tidak realistik.

“Bagaimana orang awam hendak beri maklum balas yang bersesuaian?

“Malah kalau kita beli pelan struktur itu pun, ada beberapa perkara yang sukar difahami.

“Tanpa berhubungan dengan perancang bandar atau profesional bidang itu, kita memang tak faham apa-apa. Kita hanya boleh faham dengan bantuan mereka.”

Mumtaz juga berkata pelan struktur dan Pelan Bandar KL adalah dua dokumen berbeza.

“Dalam Pelan Bandar KL, kita boleh nampak nisbah plot tanah, kepadatan dan penggunaan tanah. Sedangkan dalam pelan struktur adalah kerangka apa yang akan berlaku di KL.

“Kerana itulah penting untuk semua perkara ini dijelaskan kepada penduduk, jika DBKL benar-benar ikhlas mahu mendapatkan maklum balas daripada orang awam.”

Halangan maklum balas

Mumtaz turut mendedahkan halangan lain terhadap usaha DBKL mendapatkan maklum balas awam.

Misalnya, jangka masa pameran pelan struktur itu yang diadakan di tujuh kawasan adalah terlalu pendek untuk orang awam memahaminya dan memberikan pandangan mereka.

Ia dipamerkan lebih sebulan di Menara DBKL 1, tetapi di kawasan lain di seluruh ibu kota, pameran hanya berlaku dalam seminggu atau kurang.

“Mengapa pameran diadakan dalam masa yang sangat terbatas di kawasan ini?”

DBKL sedang meminta maklum balas awam terhadap pelan pembangunan ibu kota bagi tempoh 20 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2020.

Isu lain adalah kos pembelian pelan itu sekiranya orang awam mahu mengkajinya lebih teliti.

“Mereka caj RM150 untuk salinan fizikal, yang okaylah. Tetapi, jika orang awam mahu lihat dalam talian, mereka kena bayar RM100.”

Mumtaz berkata pelan itu perlu diletakkan dalam talian secara percuma.

“Kami kecewa dengan DBKL dan kelembapan mereka menyebarkan dan menyerakkan maklumat kepada orang awam,” katanya.

Beliau turut menggesa 11 ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan sesi bersama DBKL di kawasan masing-masing bagi menjelaskan pelan struktur itu kepada penduduk.

“Selaku wakil rakyat mereka patutnya minta DBKL turun padang ke kawasan mereka,” katanya. – 22 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen