PIHAK berkuasa perlu bersikap lebih terbuka kepada karya seni kreatif, kata pelukis Ahmad Fuad Osman yang menjadi mangsa terbaru tapisan di Balai Seni Visual Negara (BSVN).
Pelukis itu berkata penurunan karya tertentunya oleh pengurusan Balai boleh menjejaskan keseluruhan naratif pameran itu.
“Apabila kita merancang pameran, setiap catan melengkapi satu sama lain. Untuk menurunkan beberapa catan akan menjejaskan naratif pameran.
“Jika mereka mahu turunkan empat catan, lebih baik mereka tutup terus pameran itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Minggu lepas, Balai menaikkan semula catan Fuad selepas kecaman awam terhadap keputusannya menurunkan empat catan yang dianggap “lucah” dan “politikal”.
Antara karya yang menjadi kontroversi adalah sebuah catan bertajuk “Imitating the Mountain” memaparkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan latar belakang jajaran gunung.
Tiga lagi karya termasuklah “Untitled (2012)”, “Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody”, dan “Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik”.
Ia merupakan sebahagian dari pameran solo Ahmad Fuad bertajuk “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting”.
Pameran itu menghimpunkan karya Ahmad Fuad yang dihasilkan antara 1990 dan 2019, sebagai tinjauan perkembangan pengkaryaannya.

Pameran itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu dan sepatutnya ditutup pada 31 Januari lalu. Ia bagaimanapun dilanjutkan sehingga 29 Februari ini atas permintaan Balai.
Tambahnya, beliau dan kurator pameran juga sudah melalui semua proses tapisan sebelum pameran bermula.
“Apa yang kami tidak faham adalah mengapa mereka turunkan catan ketika pameran sedang berlangsung?
“Jika ini adalah kerajaan terdahulu, kami pastinya tidak akan mampu mempamerkan hasil seni itu.
“Ini juga gambaran tentang bagaimana kerajaan baharu perlu lebih terbuka (kepada karya seni).
Fuad juga merasakan hanya segelintir orang yang membantah pameran itu.
“Saya orang Islam dan saya tahu batasan. Tetapi, jangan tambah konflik kepada kami lagi.
“Pihak berkuasa juga perlu lebih mendekati artis (seniman),” katanya. – 21 Februari, 2020.
Komen