Baru tidak setuju alasan lewat baik pulih sekolah daif diberi Guan Eng


Desmond Davidson

Menteri Kerja Raya, Baru Bian tidak bersetuju dengan cadangan sekolah berpusat di Sarawak oleh Jabatan Pendidikan negeri. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

MENTERI Kerja Raya, Baru Bian tidak bersetuju dengan penjelasan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang kelewatan baik pulih sekolah daif di Sarawak disebabkan cadangan Jabatan Pendidikan negeri untuk menggabungkan sekolah yang mempunyai bilangan murid sedikit.

“Saya tidak fikir (itu) ia sepatutnya menjadi punca kelewatan,” kata Baru di Kuching hari ini.

Berhubung isu baik pulih 1,545 sekolah di negeri ini, Lim semalam berkata penangguhan 16 sekolah - daripada 37 buah sekolah yang dikenal pasti sebagai yang pertama untuk dibaiki dengan menggunakan bayaran RM350 juta diterima daripada kerajaan Sarawak di bawah perjanjian pembayaran balik kontra - adalah kerana Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kerja Raya tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menggabungkan sekolah berkenaan.

Dalam cadangan jabatan itu, sekolah dengan jumlah pelajar sedikit dan berdekatan antara satu sama lain akan ditutup susulan pembinaan sekolah berpusat baru.

Sekolah yang akan dibina mungkin berada di lokasi lain yang terlalu jauh untuk murid datang yang akan menyebabkan keciciran.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan kepada 19 penyelaras Parlimen Pakatan Harapan, Baru berkata sementara isu sekolah berpusat diselesaikan, baik pulih ke sekolah lain boleh diteruskan.

“Pelaksanaan mesti dilakukan dalam masa yang munasabah.”

Beliau berkata Kabinet persekutuan menunjukkan keprohatinan terhadap keadaan sekolah di negeri ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu ini.

Baru berkata beliau menentang idea sekolah berpusat berdasarkan pengalaman peribadinya sebagai murid sekolah luar bandar.

“Saya datang dari kampung dan saya faham keadaan yang dihadapi oleh ibu bapa dan anak-anak di sekolah luar bandar Sarawak.

“Jika anda mahu menggabungkannya, akan menjadi masalah besar bagi kebanyakan kanak-kanak ini.”

Beliau berkata Kementerian Kewangan dan kementeriannya pada dasarnya tidak bersetuju dengan penggabungan itu “melainkan jika ia sangat diperlukan” dan dengan persetujuan ibu bapa.

Isu baik pulih sekolah itu timbul selepas Ketua Menteri Abang Johari Openg awal minggu ini berkata “tiada satu sekolah pun dibaik pulih” di bawah perjanjian kontra itu.

Surat penghargaan kontrak untuk pembaikan dua sekolah pertama - SK Abang Amin, Meradong dan SK Abun Matu, Belaga - hanya dikeluarkan pada 14 Januari tahun lepas dengan penyerahan kawasan dilakukan pada 13 Februari. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen