Pembekal automotif Bumiputera perlu latihan pemasaran, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Dr Mahathir Mohamad berkata Bumiputera lebih banyak terlibat dalam pengeluaran tetapi ketinggalan dalam bidang pemasaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Februari, 2020.

PEMBEKAL Bumiputera dalam sektor automotif memerlukan lebih banyak latihan untuk memanfaatkan kebolehan mereka dalam pemasaran, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata Bumiputera lebih banyak terlibat dalam pengeluaran tetapi ketinggalan dalam bidang pemasaran.

“Terdapat keperluan untuk membetulkan ketidakseimbangan ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020.

“Jelas sekali, kita menyedari kelemahan tertentu dari segi pemasaran,” katanya.

“Kita perlu menyediakan latihan dan mendedahkan (mereka) agar boleh belajar tentang pemasaran, mempromosikan produk dan lain-lain dan tentu saja ini memerlukan wang,” katanya.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai sistem permit import kenderaan luar (AP), dengan menyatakan sejumlah kawalan diperlukan untuk melaraskan pasaran terbuka.

“Kita adalah pasaran yang sangat terbuka. Anda melihat semua jenis kereta dipandu di Malaysia, tetapi ada keperluan mempunyai kawalan untuk memastikan tiada salah laku,” katanya.

“Itulah sebabnya kita memerlukan lesen dan sistem kawalan ini kerana kita perlu memastikan apa yang dijual pada kualiti yang dinyatakan oleh pengeluarnya,” katanya.

Dr Mahathir berkata ini adalah salah satu cara untuk melindungi pengguna daripada ditipu. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen