Lokman Adam mohon ketepi prosiding hina mahkamah


Bede Hong

Mahkaman Rayuan menetapkan 5 Mac untuk mendengar rayuan Lokman Noor Adam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Januari, yang berpihak kepada Peguam Negara Tommy Thomas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar prosiding menghina mahkamah Lokman Noor Adam pada 13 Mac sekiranya bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu gagal dalam rayuannya mengenepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Peguam bela Syahirah Hanapiah dari Messrs Shafee & Co memaklumkan kepada mahkamah, Mahkaman Rayuan telah menetapkan 5 Mac untuk mendengar rayuan Lokman terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Januari, yang berpihak kepada Thomas.

Thomas memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas dakwaan mengugut saksi perbicaraan penyelewengan dana 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak, iaitu Amhari Efendi Nazaruddin, pada 25 September tahun lalu.

Lokman sebelum ini berkata kertas kerja yang difailkan oleh Thomas tidak jelas dan gagal mengemukakan ketetapan khusus yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi memulakan prosiding hina mahkamah terhadapnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memutuskan mahkamah berpuas hati dengan fakta dan penjelasan berkenaan prosiding hina mahkamah.

Sequerah menetapkan 9 Mac untuk tarikh pemfailan afidavit. Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam mewakili Pejabat Peguam Negara. Lokman tidak hadir di mahkamah hari ini.

Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober tahun lalu membenarkan Thomas memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.

Thomas berkata pada 25 September tahun lalu Lokman dalam temu bual video menuturkan perkataan yang berbaur ancaman atau membawa maksud untuk menggugut Amhari kerana memberi keterangan dalma perbicaraan kes 1MDB Najib.

Katanya lagi, hari yang sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari yang merupakan saksi kelapan pendakwaan berkenaan keterangan yang diberikan pada perbicaraan itu.

Menurut Thomas, tindakan Lokman adalah untuk mengganggu dan menggugut Amhari, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan tersebut. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen