PERSATUAN peguam terbesar negara ini menentang tindakan Jabatan Perdana Menteri mengadakan rundingan awam untuk cadangan pindaan, mendakwa yang ia boleh mengekang kebebasannya.
Badan Peguam Malaysia yang mempunyai hampir 16,000 ahli berkata ia dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Azalina Othman Said yang “rundingan awam dalam talian” akan dilakukan berkaitan cadangan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA).
Pindaan itu termasuklah perubahan pengurusan dalaman Badan Peguam dan proses pemilihannya.
Presiden Badan Peguam George Varughese berkata badan itu menentang cadangan pindaan ke atas LPA yang memberi kesan kepada ahli-ahlinya.
“Badan Peguam adalah badan bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Hanya ahli Badan Peguam perlu dibenarkan untuk terlibat dalam proses membuat keputusan perkara seperti ini kerana hanya mereka pihak berkepentingan dalam perkara ini.”
“Pihak luar tidak boleh dibenarkan masuk campur atau menghalang pengurusan dalaman dan regulasi sendiri Badan dalam apa sahaja cara, termasuklah melalui rundingan awam atas talian yang dimaklumkan oleh menteri.
“Tidak boleh diterima untuk kerajaan membenarkan bukan ahli mana-mana badan profesional atau organisasi berkeahlian untuk menentukan proses pengurusan dalaman entiti itu,” tambahnya.
Varughese berkata Badan itu “ kekal dan tegas” dalam pendiriannya yang kebebasan Badan Peguam sangat penting untuk kebebasan semua peguam berkaitan peranan mereka dan ketinggian undang-undang.
“Kerana itu, tidak boleh ada campur tangan dalam pengurusan dalaman dan regulasi sendiri oleh Badan Peguam, atau sekatan ke atas kebebasannya.”
Badan Peguam dimaklumkan Jabatan Peguam Negara pada 2016 yang kerajaan berhasrat untuk meminda LPA. Cadangan pindaan itu disifatkan “drastik” dan “ancaman serius” kepada kebebasan Badan Peguam Malaysia.
Pada pertengahan 2017, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Azalina untuk membangunkan pelan induk menyeluruh untuk pengamal undang-undang di Malaysia dan menyediakan pindaan menyeluruh kepada LPA.
Jawatankuasa itu menyemak pelbagai aspek cadangan pindaan LPA.
Varughese bagaimanapun bersetuju beberapa cadangan pindaan seperti pengenalan Kursus Undang-Undang Lazim ( Common Bar Course) mungkin memerlukan rundingan awam kerana ia memberi kesan kepada mereka. – 8 November, 2017.
Komen