Putrajaya lebih telus tangani krisis Covid-19 berbanding MH370


Sheridan Mahavera

Najib Razak tiba di sidang akhbar berkenaan penemuan serpihan pesawat MH370 di Reunion Island pada 5 Ogos, 2015. Pakar industri berkata kerajaan BN tidak telus dalam menyampaikan maklumat kehilangan pesawat itu. – Gambar fail EPA, 20 Februari, 2020.

TRAGEDI pesawat MH370 muncul semula ketika Malaysia menguruskan satu lagi krisis yang ada kaitan dengan antarabangsa – epidemik Covid-19 yang setakat ini menjangkiti hampir 80,000 orang di sekurang-kurangnya 30 negara.

Pendedahan terbaru tentang pesawat malang milik Malaysia Airlines itu mencetuskan persoalan tentang setelus manakah kerajaan terdahulu Barisan Nasional dalam mendedahkan maklumat berkenaan krisis itu.

Perbandingan turut dibuat dengan bagaimana pentadbiran Pakatan Harapan menguruskan perkembangan terkini membabitkan penyebaran koronavirus di negara ini.

Pakar perhubungan awam dan media berkata berbanding dengan MH370, kerajaan sekarang lebih telus, tepat pada masa dan tersusun dalam memberi maklumat kepada umum tentang Covid-19.

Kecurigaan tentang cubaan menutup apa yang berlaku pada MH370 semakin tinggi selepas bekas perdana menteri Australia Tony Abbot semalam mendedahkan beliau diberitahu “sangat awal tentang Putrajaya berpendapat tragedi itu berpunca daripada pembunuhan dan bunuh diri”.

Dalam laporan disiarkan pada 30 Julai, 2018 penyiasat Malaysia berkata mereka mempertimbangkan tujuh kemungkinan sebab tragedi berkenaan tetapi akhirnya kesimpulannya ialah mereka tidak tahu apa yang berlaku.

“Dari hari pertama kita tahu kerajaan tidak begitu telus tentang MH370,” kata pengarang kanan yang memantau liputan tentang MH370.

“Cara mereka mendedahkan maklumat dan maklumat yang tidak konsisten turut menimbulkan persoalan tentang kredibiliti mereka.”

Kementerian Kesihatan menyampaikan maklumat berkenaan Covid-19 kepada masyarakat umum dengan efisien dan turut guna Facebook dan WhatsApp, bukan hanya mengeluarkan kenyataan media. – Gambar EPA, 20 Februari, 2020.

Dalam krisis Covid-19 pula, Kementerian Kesihatan membuat satu kumpulan WhatsApp khas untuk menyampaikan perkembangan terkini harian tentang kes baharu dan semasa berkenaan situasi itu di negara ini.

Kementerian juga mengeluarkan kenyataan sepanjang hari jika ada jangkitan baharu atau pesakit yang pulih, selepas sidang akhbar harian.

“Mereka responsif dan cepat bertindak terhadap kebimbangan rakyat. Setiap kali ada kes yang disyaki, mereka akan cepat mengesahkan atau menafikan,” kata Justin Then, pengarah urusan syarikat konsultasi Lumos, Hill+Knowlton.

“Mereka juga menggunakan pelbagai platform seperti Facebook dan WhatsApp, bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan media. Jadi mereka faham rakyat mendapatkan maklumat dan bagaimana berita tersebar,” katanya. – 20 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen