PENDUDUK dan pengendali perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor yang mula terasa bahang gangguan bekalan air bagi tempoh 48 jam, juga perlu bersedia berdepan dengan ini: Gangguan itu dijangka berterusan hingga 2019.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memberitahu The Malaysian Insight mereka mengenal pasti 84 hotpsot (kawasan yang sering berlaku paip pecah dan kebocoran), meliputi 422km paip usang, untuk digantikan antara 2016 hingga 2019.
Syabas berkata kerajaan memperuntukkan RM142.6 juta bagi menggantikan paip usang di 344 hotspot tahun ini.
Kenyataan itu dibuat susulan selepas Syabas dihujani panggilan telefon daripada pelanggan semalam akibat gangguan air secara tiba-tiba yang menjejaskan 307,000 pelanggan di 280 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Gangguan terkini itu berlaku akibat paip pecah berhampiran ELC International School, West Sierramas di Jalan Sungai Buloh, pagi semalam.
Syabas terdahulu berkata bekalan air di kawasan terjejas akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 48 jam, tetapi dalam satu kenyataan lain malam tadi, ia mengumumkan paip pecah itu digantikan dan bekalan akan pulih secara berperingkat.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Amin Lin Abdullah berkata kebanyakan paip di Selangor dan KL daripada jenis simen asbestos, yang berusia melebihi 30 tahun.
“Paip ini selalu pecah atau bocor kerana materialnya dan ia sudah tua,” katanya.
Paip simen asbestos ini akan digantikan dengan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) yang lebih teguh dan berdaya tahan terhadap tekanan air.
Sementara itu, penduduk dan pengendali perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor berang dengan kekerapan gangguan bekalan air.
Mereka mendesak Syabas mengambil langkah proaktif untuk memastikan kehidupan dan perniagaan mereka tidak terjejas dengan masalah air.
Presiden persatuan penduduk Seksyen 12 Petaling Jaya A. Narayanan berkata mereka kecewa dengan kekerapan gangguan bekalan air.
“Ini kali ketiga tahun ini kami terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air di kawasan perumahan kami.
“Persoalan utamanya ialah kenapa kerap sangat ia berlaku,” katanya.
Narayanan berkata penduduk sukar menjalani kehidupan harian kerana gangguan ini.
Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M. Ali berkata syarikat berkenaan sama ada Syabas atau pengendali lain perlu bertanggungjawab memastikan tiada gangguan bekalan berlaku.
“Penduduk yang terpaksa berdepan kesukaran setiap kali berlaku gangguan.
“KL dan Selangor kawasan berkepadatan tinggi. Walaupun hanya sehari gangguan berlaku, ia boleh menjejaskan ribuan keluarga,” katanya.
Penasihat Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia H.C. Chan berkata sebagai pengguna terbesar, gangguan bekalan air boleh menyebabkan peniaga berdepan kerugian.
“Ia tidak bagus untuk perniagaan terutama di pusat beli-belah. Kami terpaksa berdepan kerugian besar bila berlaku gangguan bekalan air.
“Air sangat penting bagi pengendali pusat beli-belah kerana tanpanya kami tidak dapat memasang sistem penyaman udara berpusat. Siapa hendak datang ke pusat beli-belah yang panas,” katanya. – 28 April, 2017.
Komen