TIADA bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tragedi MH370 adalah plot bunuh diri, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Pihak polis juga katanya telah menyiasat kejadian itu dari pelbagai sudut.
“Tiada teori yang boleh sahkan kerana kita tidak jumpa rangka kapal terbang tersebut.
“Saya tak tahu siapa ‘pegawai tinggi’ yang dimaksudkan. Saya pun terlibat dalam siasatan itu, kita menyiasat dari seluruh sudut. Dari segi terrorismnya, dari segi hijacking oleh pihak tertentu, menggunakan teknologi canggih untuk hijack kapal terbang itu, dan macam-macam.
“Jadi banyak fakta yang telah dikumpul. Apabila katakanlah ia ditemui nanti, mungkin akan dibuka balik (siasatan),” kata Hamid kepada pemberita.
Beliau mengulas dakwaan bekas perdana menteri Australia Tony Abbott bahawa seorang “pegawai atasan kerajaan” sejak awal percaya tragedi MH370 adalah plot bunuh diri oleh juruterbang.
Abbott memberitahu Sky News bahawa seseorang “dari peringkat tertinggi kerajaan Malaysia” memberitahunya “lebih awal, yang mereka (Putrajaya) menganggap ia satu tindakan pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang”.
“Saya tidak akan beritahu siapa yang berkata demikian tetapi biar saya ulang, saya mahu ia betul-betul jelas, difahamkan bahawa pada peringkat tertinggi ia hampir pasti adalah tindakan pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang.”
Zaharie Ahmad Shah adalah juruterbang Boeing 777, yang membawa 239 orang dan majoriti mereka adalah warga China, ketika ia hilang di Laut China Selatan kira-kira 40 minit berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Abbott merupakan perdana menteri Australia ketika pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014.
Pesawat MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, mencetuskan pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan.
Hanya beberapa serpihan pesawat dijumpai, semuanya di tepi pantai Laut India, dan usaha pencarian berakhir pada 2018. – 19 Februari, 2020.
Komen