Peralihan kuasa, pilihan raya Sarawak agenda utama mesyuarat Pakatan


Chan Kok Leong

Mesyuarat majlis presiden PH Jumaat ini dijangka menetapkan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

SELEPAS berbulan-bulan spekulasi, majlis presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka menetapkan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam mesyuarat pertamanya untuk 2020, kata sumber.

“Isu ini sudah berlarutan terlalu lama dan kami harap untuk dapat memuktamadkan satu tarikh,” kata sumber dari Amanah, salah satu daripada empat parti dalam majlis presiden PH.

“Tetapi ia lebih daripada sekadar tarikh kerana kami harap untuk berbincang tentang peranan Dr Mahathir dalam kerajaan selepas menyerahkan kuasa kepada Anwar.”

Amanah percaya ia bukan perkara mudah sekadar Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), tetapi bagaimana PH dapat meneruskan pentadbiran bersama kedua-dua pemimpin itu.

Sumber berkata beliau merasakan Dr Mahathir patut meneruskan peranannya dalam kerajaan selepas Anwar mengambil alih.

“Kami perlu membincangkan apa yang Dr Mahathir mahu selepas peralihan itu dan apa peranan paling sesuai untuk beliau,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama tarikh peralihan kuasa dibangkitkan pada mesyuarat majlis presiden PH.

Pada mesyuarat terakhirnya 3 November lalu, PKR mencadangkan supaya tarikh peralihan ditetapkan tetapi idea itu tidak mendapat respons memberangsangkan daripada parti lain.

Seorang lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa pemimpin Amanah menolak idea itu dan berkata lebih baik menyerahkan kepada enam pemimpin parti untuk memutuskannya.

Mereka ialah Pengerusi PH Dr Mahathir, Anwar, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan presiden gabungan itu Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 19 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen