Peguam Rosmah dakwa Madinah gagal nasihat Najib mengenai projek solar


Ravin Palanisamy

Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad diasak mengenai kegagalannya menasihat bekas perdana menteri Najib Razak mengenai kebolehlaksanaan projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Februari, 2020.

PEGUAM bela Rosmah Mansor hari ini mengasak saksi keenam pendakwaan Madinah Mohamad mengenai kegagalannya menasihat bekas perdana menteri Najib Razak mengenai kebolehlaksanaan projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak.

Ketika sesi soal balas, peguam Akberdin Abdul Kader bertanya kepada Madinah jika beliau ada memberi nasihat kepada Najib bahawa projek berkenaan tidak boleh dilaksanakan.

Akberdin juga bertanya jika bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu pernah menulis kepada Najib tentang masalah yang dihadapi oleh kementerian semasa memproses cadangan Jepak Holding Sdn Bhd berkenaan projek solar.

Madinah bersetuju bahawa beliau tidak berbuat demikian tetapi telah mencuba sebaik mungkin menasihatkan bekas perdana menteri itu. Bagaimanapun, usahanya gagal atas beberapa sebab, tambah saksi itu.

Akberdin kemudian menekankan bahawa Madinah gagal menjalankan tugasnya kerana tidak memaklumkan kepada Najib mengenai projek tersebut dan kini menuduh bekas perdana menteri itu di mahkamah.

Ini tidak dipersetujui Madinah, berkata beliau perlu mengikuti hierarki dan tidak boleh melangkaui ketuanya, menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid.

Madinah juga memberitahu mahkamah isu-isu berkenaan telah memaklumkan kepada Mahdzir, yang kemudian berkata akan dibawa kepada perhatian Najib.

Akberdin: Kamu ada mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa perdana menteri untuk terangkan mengapa projek itu tidak boleh diteruskan?

Madinah: Tidak. Saya ada mencuba tetapi saya tak boleh buat begitu kerana sebagai penjawat awam, kami ada hierarki. Apabila saya maklumkan kepada menteri (Mahdzir) mengenai masalah ini, beliau beritahu saya akan bawanya kepada Najib. Jadi, saya tak boleh melangkaui beliau.

Akberdin: Adakah adil untuk kamu berkata yang kamu mematuhi arahan perdana menteri (menyokong Jepak), sedangkan kamu gagal menjalankan tugas. Beliau tak dimaklumkan secara bertulis mengenai masalah dalam projek ini.

Madinah: Saya setuju.Saya tidak terangkan secara bertulis. 

Akberdin: Lamu tak pernah nasihatkan perdana menteri kebenaran tentang projek itu?

Madinah: Saya tidak beri nasihat atas sebab-sebab yang saya katakan tadi. – 19 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen