Bekas presiden Korea Selatan dipenjara


Bekas Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak menjalani tempoh penjara 17 tahun hari ini bagi kesalahan rasuah dan penyelewengan selepas mahkamah menolak rayuannya untuk hukuman lebih ringan. – Gambar AFP, 19 Februari, 2020.

BEKAS Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak menjalani tempoh penjara 17 tahun hari ini bagi kesalahan rasuah dan penyelewengan selepas mahkamah menolak rayuannya untuk hukuman lebih ringan.

Lee yang memegang jawatan dari 2008 hingga 2013 telah dipenjara pada 2018 selepas dijatuhi hukuman 15 tahun dan didenda 13 bilion won ($11 juta) tetapi telah mendapat jaminan ketika membuat rayuan.

Beliau didapati bersalah menerima dana berpuluh-puluh juta dolar dan menerima suapan dari Samsung Electronics sebagai pertukaran untuk membebaskan pengerusinya Lee Kun-Hee yang dipenjara atas kesalahan mengelak cukai.

Mahkamah Daerah Seoul mengarahkan hukuman lebih berat dengan mengatakan Lee “tidak menunjukkan tanda sesal atau rasa bertanggungjawab” atas kesalahannya.

Beliau sebaliknya menyalahkan penjawat awam yang bekerja dengannya dan pekerja Samsung, kata mahkamah. 

Beberapa Presiden Korea Selatan sebelum ini dipenjara selepas tidak lagi menjawat jawatan itu.

Pengganti Lee, Park Geun-hye, kini menjalani hukuman penjara 32 tahun kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Ia selepas beliau disingkirkan daripada jawatan itu susulan skandal rasuah yang menyebabkan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara.

Seorang lagi pemimpin, Roh Moo-hyun, membunuh diri selepas disoal siasat berhubung dakwaan rasuah membabitkan ahli keluarganya. – AFP, 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen