Kes lucut hak harta Najib didengar 11 Mac


Bede Hong

Polis membawa barang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Najib Razak dan keluarganya pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan bulan depan pendengaran permohonan kerajaan untuk lucut hak barangan bernilai RM680 juta dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disita dari premis Obyu Holdings Sdn Bhd.

Pegawai penguat kuasa merampas barang kemas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai yang dikatakan milik Najib Razak dan keluarga dari premis dimiliki teman rapat bekas perdana menteri itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan 11 Mac untuk mendengar hujah jawapan pendakwaan terhadap bantahan awal permohonan pelucuthakan selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain memaklumkan kepada mahkamah hujahan belum disediakan kerana salah faham tarikh pendengaran.

Hakim kemudian membenarkan permohonan bagi tempoh dua minggu lagi untuk penyerahan bertulis disiapkan dan dikemukakan kepada mahkamah.

Hakim juga menetapkan 11 Mac pendengaran permohonan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan syarikat brang Global Royalty Trading SAL untuk mendapatkan gambar aset yang diambil dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, dan memeriksa aset secara fizikal.

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Zainal Abidin mewakili Obyu Holdings manakala Global Royalty Trading, yang dimiliki oleh saudagar emas dari Lubnan, Samer Halimeh, diwakili oleh David Gurupatham.

Obyu Holdings dimiliki oleh hartawan Sarawak Bustari Yusof, yang merupakan abang bekas menteri kerjaraya Fadillah Yusof dan teman rapat Najib.

Putrajaya memfailkan saman terhadap 11,991 barang kemas yang disita daripada kediaman diduduki oleh keluarga Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur tahun lepas.

Antara barang yang dirampas pada 17 Mei tahun lepas dan 31 Januari tahun ini ialah 11,990 barang kemas, 401 jam tangan, 16 unit aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata hitam dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen