ANGGOTA Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS), iaitu sebuah unit kerajaan negeri yang diisytiharkan haram tahun lepas, perlu diintegrasikan ke dalam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim mengatakan mereka boleh membantu kerja-kerja bantuan kecemasan dalam bencana di negeri itu.
“(Ahli) PPS perlu diserapkan ke dalam Jabatan Pertahanan Awam supaya dapat bekerja dengan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT).
“Kita akan sediakan jentera, pangkalan hadapan, tempat simpanan makanan dan lain-lain mengikut keperluan mereka,” katanya.
Penubuhan CDERT di peringkat komuniti di Pulau Pinang kata Shahidan, akan membantu penyediaan bantuan kecemasan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata PPS berkesan dalam menghadapi keadaan kecemasan.
Beliau meminta Shahidan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan semula PPS.
PPS merupakan unit sukarela yang ditubuhkan pada 2011 oleh majlis mesyuarat kerajaan Pulau Pinang dengan matlamat membanteras jenayah.
Pada Hari Kemerdekaan pada 2014, polis menahan lebih daripada 150 anggota PPS. Ia kemudian diisytiharkan haram dan dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan awam oleh Kementerian Dalam Negeri selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) melabelkan ia sebuah badan “tidak berdaftar”.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang Phee Boon Poh menafikan kerajaan negeri tidak bersedia menghadapi banjir yang meragut tujuh nyawa.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri kekurangan tenaga manusia sehingga terpaksa meminta bantuan tentera yang memiliki kelengkapan dan kenderaan mencukupi. – 8 November, 2017.
Komen